Isnin, 10 Jun 2019 | 8:02am
RATUSAN penunjuk perasaan berhimpun di luar konsulat China di Vancouver membantah rancangan kontroversi bagi membenarkan ekstradisi dari Hong Kong ke tanah besar China. - Foto AFP
RATUSAN penunjuk perasaan berhimpun di luar konsulat China di Vancouver membantah rancangan kontroversi bagi membenarkan ekstradisi dari Hong Kong ke tanah besar China. - Foto AFP

Ratusan berhimpun di Vancouver bantah pelan ekstradisi Hong Kong

VANCOUVER: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar konsulat China di Vancouver semalam membantah rancangan kontroversi bagi membenarkan ekstradisi dari Hong Kong ke tanah besar China.

“Pindaan ini akan menjejaskan jutaan penduduk, bukan saja di Hong Kong malah di seluruh dunia,” kata penganjur protes, Mabel Tung yang juga pengerusi Persatuan Vancouver dalam Menyokong Pergerakan Demokratik.

Tung yang berhijrah ke Kanada dari Hong Kong 40 tahun lalu dan berjuang menentang perlanggaran hak kemanusiaan di China, bimbang aktivis sepertinya bakal berdepan risiko ekstradisi sebaik mereka transit melalui Hong Kong sekiranya rang undang-undang itu diluluskan.

Beberapa penunjuk perasaan turut membawa sepanduk menggesa pembebasan dua warga Kanada, Michael Kovrig dan Michael Spavor yang ditahan di China susulan penahanan eksekutif kanan Huawei, Meng Wanzhou, Disember lalu.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk dan payung kuning sebagai simbol mengenang kembali siri protes pro- demokrasi pada 2014 di Hong Kong yang dikenali sebagai ‘Pergerakan Payung’.

Ribuan pendatang dari Hong Kong menetap di Vancouver pada 1980an dan 1990an kerana penyerahan semula pentadbiran Hong Kong dari Britain kepada China pada 1997. - AFP

Berita Harian X