Jumaat, 24 Mei 2019 | 7:19am
Kereta dan truk bertindan antara satu sama lain akibat serangan puting beliung di Jefferson City, Missouri, malam semalam. -Foto Reuters
Kereta dan truk bertindan antara satu sama lain akibat serangan puting beliung di Jefferson City, Missouri, malam semalam. -Foto Reuters

Serangan puting beliung di tengah AS ragut 7 nyawa

JEFFERSON CITY: Serangan puting beliung terbaharu di tengah Amerika Syarikat (AS) di Missouri mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang sementara hujan lebat menyebabkan sungai melimpah di Oklahoma, kata pihak berkuasa semalam.

Tiga kematian itu dan beberapa kecederaan dilaporkan di dalam dan sekitar Golden City, Missouri, sejauh 48 kilometer di timur laut Joplin apabila puting beliung membadai malam kelmarin, kata Jabatan Keselamatan Awam Missouri di Twitter.

Angka itu menjadikan jumlah kematian akibat cuaca buruk dalam tempoh seminggu kepada sekurang-kurangnya tujuh orang ketika peramal kaji cuaca berkata, hujan dan angin kencang dijangka belum reda.

“Hujan dijangka berterusan minggu depan di bahagian tengah AS,” kata pakar kaji cuaca Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Kajicuaca Nasional (NWS), Mark Chenard di College Park, Maryland.

Chenard berkata, hujan lebat melanda Texas Panhandle dan sebelah barat di utara Oklahoma sehingga Nebraska semalam mengancam membawa lebih banyak banjir.

Ancaman puting beliung berkurangan dari Texas Panhandle sehingga Kansas, katanya.

Di bandar ini ibu negeri Missouri, pihak berkuasa berkata, serangan puting beliung ganas menyebabkan kerosakan besar-besaran namun tiada kematian.

“Banyak bangunan mengalami kerosakan besar dan kecil dan kerosakan agak meluas,” kata Datuk Bandar Jefferson City, Carrie Tergin kepada CNN.

Gabenor Missouri, Mike Parson berkata, sekurang-kurangnya 20 dirawat di hospital namun kebanyakannya dibenarkan keluar.

Awal minggu ini, serangan puting beliung menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut di Iowa sementara dua di Oklahoma maut dalam nahas akibat jalan licin manakala mangsa ketiga lemas dalam kejadian banjir. -Reuters

Kereta rosak akibat serangan puting beliung di Woodlawn Avenue, Jefferson City, Missouri, semalam. -Foto Reuters
Kereta rosak akibat serangan puting beliung di Woodlawn Avenue, Jefferson City, Missouri, semalam. -Foto Reuters

Berita Harian X