Khamis, 23 Mei 2019 | 12:10pm
SPCA berkata, ia mula menyiasat Saint-Edouard Zoo selepas menerima maklumat mengenai layanan buruk haiwan di premis itu daripada seorang pengunjung pada Ogos 2018. -Foto Agensi
SPCA berkata, ia mula menyiasat Saint-Edouard Zoo selepas menerima maklumat mengenai layanan buruk haiwan di premis itu daripada seorang pengunjung pada Ogos 2018. -Foto Agensi

Kanada tutup zoo, pemilik didakwa berlaku kejam, abai haiwan

MONTREAL: Pihak berkuasa Kanada kelmarin menyerbu sebuah zoo, menahan pemiliknya dan merampas lebih 100 haiwan termasuk singa, zebra, kangaru dan beruang selepas menemui dua harimau mati di premis itu.

Pemilik Saint-Edouard Zoo, Norman Trahan yang terletak di Saint-Edouard-de-Maskinonge, sejauh 120 kilometer di timur laut bandar ini, berdepan tuduhan melakukan kekejaman dan mengabaikan haiwan.

Jika disabitkan, dia berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan larangan memiliki haiwan.

Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan (SPCA) yang mempunyai kuasa membuat dasar di wilayah itu dan pasukan doktor haiwan mencatat dan memeriksa kesihatan setiap haiwan di zoo terbabit.

“Disebabkan kerumitan isu ini, operasi akan dilakukan selama beberapa minggu dan akan dijalankan dengan kerjasama Humane Society International, sebuah pertubuhan mengkhusus dalam operasi menyelamat haiwan secara besar-besaran.

“Kami difahamkan, ini adalah kali pertama di Kanada, seorang pemilik zoo didakwa melakukan kekejaman haiwan,” kata Sophie Gaillard yang bertanggungjawab dalam operasi itu.

Haiwan eksotik dan liar yang dirampas akan dipindahkan ke kawasan perlindungan dan kemudahan penjagaan khas di tempat lain di Amerika Utara.

Dalam satu kenyatan, SPCA berkata, ia mula menyiasat zoo itu selepas menerima maklumat mengenai layanan buruk haiwan terbabit daripada seorang pengunjung pada Ogos 2018. -AFP

Berita Harian X