Isnin, 20 Mei 2019 | 7:54am
DONALD Trump. - Foto AFP
DONALD Trump. - Foto AFP

Iran temui kehancuran jika serang Amerika - Trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberikan amaran keras kepada Iran semalam dengan berkata, negara itu akan menemui kehancuran jika menyerang AS.

“Jika Iran mahu bergaduh, ia akan menjadi pengakhiran rasmi buat negara itu. Jangan sekali-kali mengancam Amerika Syarikat lagi,” katanya menerusi Twitter.

Ketegangan antara Washington dan Tehran semakin meningkat, serentak dengan penghantaran pesawat pengebom B-52 dan pasukan penyerang ke Teluk susulan apa yang digambarkan sebagai ‘ancaman Iran’.

Menteri Luar Iran mengenepikan kemungkinan perang baharu di rantau itu Sabtu lalu dengan berkata,Tehran enggan membiarkan ia berlaku dan tiada pihak beranggapan republik Islam itu boleh diserang.

“Kami pasti tidak akan berlaku peperangan kerana tiada siapa mahu membiarkan ia berlaku atau ada pihak beranggapan mereka mampu berhadapan dengan Iran di rantau ini,” kata Mohammad Javad Sharif kepada agensi berita rasmi, IRNA ketika di akhir lawatan ke China.

Hubungan AS - Iran kembali tegang tahun lalu selepas Trump menarik diri dari perjanjian nuklear 2015 dan mengenakan sekatan baharu yang ditarik semula selepas Iran mengurangkan program nuklear mereka. - AFP

Berita Harian X