Rabu, 8 Mei 2019 | 8:04am
Perdana Menteri Kanada,Justin Trudeau dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte (kanan). Foto Agensi
Perdana Menteri Kanada,Justin Trudeau dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte (kanan). Foto Agensi

Kanada ambil semula kontena sampah dari Filipina

TORONTO: Kerajaan Kanada bersetuju untuk mengambil semula 69 kontena sampah yang dihantar secara salah ke Filipina dan negara itu juga bersetuju menanggung kos penghantaran berkenaan.

Manila mengumumkan perkara itu semalam, sekali gus dijangka menamatkan pertikaian diplomatik yang berlanjutan sejak sekian lama.

Bulan lalu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengemukakan bantahan terhadap Kanada berhubung penghantaran sampah dari 2013 hingga 2014, yang didakwa oleh Ottawa sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan.

Menurut sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kewangan Filipina, semalam, pemulangan kontena itu tertangguh kerana isu birokrasi pada pihak Kerajaan Kanada.

Kontena yang ditanda sebagai barangan plastik untuk proses kitar semula di Manila, sebenarnya mengenai lampin pakai buang, surat khabar dan botol air.

Pada 2016, mahkamah Filipina memutuskan bahawa sampah itu perlu dihantar semula ke Kanada.

“Kami sudah membuat tawaran untuk mengambil semula sisa dari Kanada itu dan bersedia bekerjasama dengan Filipina bagi menyelesaikan segala isu tertangguh, termasuk perundangan dan pengawal seliaan,” kata jurucakap Kementerian Luar Kanada, Guillaume Berube.

Bagaimanapun, isu berkenaan bukanlah satu-satunya yang menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Tahun lalu, Duterte mengarahkan tenteranya membatalkan perjanjian pembelian helikopter dari Kanada bernilai AS$233 juta (RM965.82 juta), selepas Ottawa menyatakan kebimbangan ia bakal digunakan untuk menentang pemberontak.

Pada November 2017 pula, Duterte mengkritik Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau bagi hari terakhir sidang kemuncak yang dihadiri negara Asia dan Barat, kerana membangkitkan isu operasi memerangi dadah yang dilancarkannya. - Reuters

Berita Harian X