Isnin, 29 April 2019 | 1:18pm
KAPAL perang Stethem. - Foto Reuters
KAPAL perang Stethem. - Foto Reuters

AS hantar dua kapal perang ke Selat Taiwan

WASHINGTON : Tentera Amerika Syarikat (AS) menghantar dua kapal perang tentera laut negara itu ke Selat Taiwan semalam, serentak dengan langkah Pentagon menambah kekerapan pergerakan di perairan strategik itu walaupun berdepan halangan China.

Perkara itu menambah ketegangan dalam hubungan antara AS dan China namun dilihat Taiwan sebagai satu sokongan daripada pentadbiran Donald Trump tetapi pada masa sama, mengeruhkan ketegangan sedia ada antara Taiwan dan China.

Taiwan adalah antara punca ketegangan hubungan AS-China selain turut mencakupi perang perdagangan, sekatan AS dan pertambahan kekuatan ketenteraan China di Laut China Selatan yang turut membabitkan pelaksanaan kawalan rondaan bebas oleh AS.

Kedua-dua kapal perang itu dikenali sebagai William P. Lawrence dan Stethem.

Selat Taiwan seluas 180 kilometer itu memisahkan Taiwan dari China.

Jurucakap tentera laut AS, Komander Clay Doss dalam satu kenyataan berkata, kapal berkenaan yang melalui Selat Taiwan adalah bukti komitmen AS terhadap Indo Pasifik yang terbuka dan bebas.

Menurut Doss, tiada sebarang hubungan tidak selamat atau tidak profesional tercetus bersama kapal negara lain ketika perjalanan itu.

AS tidak memiliki hubungan rasmi bersama Taiwan namun tertakluk kepada undang-undang untuk membantu mempertahankan negara itu dan sumber senjata utama mereka. - Agensi

Berita Harian X