Rabu, 30 Januari 2019 | 10:03am
Guaido (kanan) berucap bersebelahan isterinya, Fabiana Rosales (tengah dan aktivis Lilian Tintori (kiri), isteri pemimpin pembangkang Venezuela, Leopoldo Lopez, di hadapan penyokongnya di Caracas, 26 Januari lalu. -Foto AFP
Guaido (kanan) berucap bersebelahan isterinya, Fabiana Rosales (tengah dan aktivis Lilian Tintori (kiri), isteri pemimpin pembangkang Venezuela, Leopoldo Lopez, di hadapan penyokongnya di Caracas, 26 Januari lalu. -Foto AFP

Venezuela larang Guaido keluar negara, beku akaun bank

CARACAS: Mahkamah Agung Venezuela melarang Juan Guaido, yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden, meninggalkan negara itu dan membekukan akaun bank miliknya semalam, ketika pemimpin Nicolas Maduro berusaha menyekat ketua pembangkang disokong Amerika Syarikat (AS) itu.

“Ketua perwakilan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen) berusia 35 tahun itu dilarang daripada meninggalkan negara ini sehingga tamatnya siasatan awal kerana menjejaskan keharmonian di republik ini,” kata Presiden Mahkamah Tinggi, Maikel Moreno.

Mahkamah dipenuhi penyokong setia Maduro.

Tindakan itu dibuat selepas Jabatan Negara AS mendedahkan, Guaido, ketua Perhimpunan Kebangsaan dan presiden sementara yang diisytihar sendiri, mengambil alih kawalan akaun bank AS di Venezuela.

Setiausaha Negara Mike Pompeo menandatangani arahan itu minggu lalu, yang kemudian diikuti sekatan AS menyasarkan gergasi minyak Venezuela, PDVSA, sumber utama kerajaan yang berdepan masalah kewangan itu.

“Pengiktirafan ini akan membantu kerajaan sah Venezuela melindungi aset untuk manfaat rakyat Venezuela,” kata jurucakap Jabatan Negara, Robert Palladino dalam satu kenyataan.

Guaido menganggap usaha Maduro untuk menghalangnya sebagai ‘tiada apa yang baharu.’

Pelajar Universiti Pusat Venezuela (UCV) di Caracas, memegang kain rentang bertulis, ‘Maduro usurper’ (Maduro perampas) ketika bantahan menentang kerajaan pimpinannya digesa pembangkang, semalam. -Foto AFP
Pelajar Universiti Pusat Venezuela (UCV) di Caracas, memegang kain rentang bertulis, ‘Maduro usurper’ (Maduro perampas) ketika bantahan menentang kerajaan pimpinannya digesa pembangkang, semalam. -Foto AFP

“Saya bukan menolak ancaman, pendakwaan ketika ini, namun kita sudah berada di sini, kita akan terus melakukan tugas kita,” katanya kepada media ketika tiba di Perhimpunan Kebangsaan.

Guaido, yang diiktiraf presiden sementara Venezuela oleh Presiden AS Donald Trump, menghantar mesej kepada mahkamah atasan negara itu di Twitter, memberi amaran ‘rejim itu kini berada di peringkat akhir.’

“Anda tidak seharusnya mengorbankan diri untuk perampas dan samsengnya,” tambah beliau.

Di Washington, penasihat keselamatan Trump memberi amaran ‘akibat buruk’ jika pemimpin pembangkang Venezuela itu diapa-apakan.

“Saya ulangi, akan ada akibat buruk bagi mereka yang cuba menghalang demokrasi dan mengancam Guaido,” penasihat Trump, John Bolton menulis tweet.

Sementara itu, perundangan dikawal pembangkang menamakan ‘perwakilan diplomatik’ ke 12 negara yang mana seperti AS, mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara.

Di Rumah Putih, Naib Presiden AS Mike Pence bertemu wakil Guaido di AS, Carlos Vecchio bagi membincangkan krisis itu.

Jurutera berusia 35 tahun itu muncul di pentas politik namun tidak dikenali sehingga 3 Januari lalu apabila beliau mengangkat sumpah sebagai presiden Perhimpunan Kebangsaan, badan yang sebahagian besarnya menimbulkan tentangan oleh Mahkamah Agung.

Pada 23 Januari lalu, beliau mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden dan berikrar mengetuai sebuah kerajaan peralihan yang akan mengadakan pilihan raya demokrasi. -AFP

Penunjuk perasaan pembangkang mengibarkan bendera Venezuela ketika bantahan menentang kerajaan pimpinan Maduro di luar Hospital Kanak-kanak Caracas, semalam. -Foto AFP
Penunjuk perasaan pembangkang mengibarkan bendera Venezuela ketika bantahan menentang kerajaan pimpinan Maduro di luar Hospital Kanak-kanak Caracas, semalam. -Foto AFP

Berita Harian X