Rabu, 17 Oktober 2018 | 7:52am
MIKE Pompeo bertemu dengan Menteri Luar Saudi, Adel al-Jubeir di Riyadh. - Foto AFP
MIKE Pompeo bertemu dengan Menteri Luar Saudi, Adel al-Jubeir di Riyadh. - Foto AFP

Arab Saudi janji siasatan telus kes kehilangan wartawan

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, semalam berkata pemimpin Arab Saudi menegaskan tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam konsulat negara itu di Istanbul ketika lawatan wartawan Jamal Khashoggi dan berjanji melakukan siasatan serius dan telus.

“Dalam pertemuan hari ini, kepemimpinan Arab Saudi menafikan sekeras-kerasnya mereka mengetahui apa terjadi dalam bangunan konsulat di Istanbul.

“Saya melihat ada komitmen serius untuk menentukan semua fakta dan memastikan akauntabiliti, termasuk kepada pemimpin kanan negara itu atau pegawai kanannya,” kata Pompeo dalam kenyataan dari Arab Saudi.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai AS berkata, hubungan negara itu dengan Arab Saudi tidak bermakna Washington ‘tidak mengendahkan atau tidak menghiraukan’ kehilangan Khashoggi yang disyaki dibunuh.

Beliau menjawab soalan mengenai peranan Riyadh dalam memaksa kempen tekanan maksimum AS ke atas Tehran, ketika pentadbiran di Washington mendedahkan sekatan baru terhadap kumpulan separa tentera Iran.

Sebahagian pemerhati percaya AS enggan bersemuka dengan Arab Saudi kerana bimbang kehilangan sekutu utama rantau Teluk, walaupun jika terbukti Riyadh ada peranan dalam kehilangan atau kematian wartawan itu.

“Memang kami sudah lama ada hubungan dengan Arab Saudi dan ia amat penting, tetapi tidak bermakna kami tidak menghiraukan kejadian ini.

“Kami juga percaya mereka yang bertanggungjawab di atas kejadian itu akan dipertanggungjawabkan,” katanya. - Reuters/AFP

Berita Harian X