Rabu, 19 September 2018 | 7:22am
 PRESIDEN Donald J. Trump (kanan) dan Presiden Republik Andrzej Duda (kiri) berjabat tangan pada sidang akhbar bersama mereka di Rumah Putih, Washington. - Foto EPA
PRESIDEN Donald J. Trump (kanan) dan Presiden Republik Andrzej Duda (kiri) berjabat tangan pada sidang akhbar bersama mereka di Rumah Putih, Washington. - Foto EPA

Poland cadang buka 'Fort Trump'

WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata semalam, Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan permintaan Poland untuk membuka sebuah pangkalan tentera kekal di negara itu.

Ia berikutan kebimbangan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu terhadap kemungkinan tindakan agresif Russia.

Presiden Poland, Andrzej Duda meminta Trump membuka pangkalan kekal tentera AS ketika menghadiri mesyuarat Rumah Putih, dan mencadangkan nama ‘Fort Trump,’.

Trump berkata beliau bersetuju dengan Duda bahawa Moscow ‘bertindak agresif’ di rantau itu dan berkata permintaan pangkalan itu sedang dipertimbangkan.

Beliau turut menghargai tawaran Duda untuk melaburkan lebih daripada AS$2 bilion (RM8.2 bilion) dalam projek itu.

“Kami memandang serius cadangan ini, saya tahu Poland suka idea itu, dan kami sedang mempertimbangkan untuk bersetuju,” kata Trump kepada pemberita.

Moscow melahirkan kebimbangan Mei lalu susulan laporan permintaan Poland itu. Ia menyifatkan perkembangan NATO ke arah sempadan Russia menjejaskan kestabilan di Eropah.

Poland menyertai NATO pada 1999 bersama dengan Hungary dan Republik Czech, dan sejak itu bekas negara komunis lain, termasuk republik Baltik yang bersempadan dengan Russia, turut menyertai walaupun ditentang Moscow. - Reuters

Berita Harian X