Jumaat, 7 September 2018 | 10:36pm
SAINTIS memegang botol sampel DNA di pejabat ketua pemeriksa perubatan New York di New York City. - Foto Reuters
SAINTIS memegang botol sampel DNA di pejabat ketua pemeriksa perubatan New York di New York City. - Foto Reuters

Saintis guna teknik baharu DNA cam mangsa 9/11

NEW YORK: Teknik analisis baharu DNA (asid deoksiribonukleik) membantu mengenal pasti lebih ramai mangsa tragedi serangan World Trade Center (WTC) 11 September 2001, kata saintis pejabat ketua pemeriksa perubatan bandaraya ini semalam.

Walaupun angka kematian akibat serangan dua pesawat dirampas yang merempuh Menara Berkembar adalah 2,753 orang, serpihan tulang lebih 1,000 orang masih belum dikenal pasti, mengecewakan keluarga yang bersedih.

Menggunakan teknologi baharu dirintisnya, pejabat pemeriksa perubatan berkata, ia baru-baru ini berupaya mengenal pasti identiti kakitangan kewangan, Scott Michael Johnson, 26, yang bekerja di tingkat 89 Menara Selatan.

Seorang mangsa baharu dikenal pasti sejak lima tahun lalu berikutan perkembangan teknologi.

Penyiasat di makmal jenayah terbesar dunia itu membuat penemuan berkenaan dengan menguji semula serpihan tulang yang diperiksa banyak kali sebelumnya tanpa sebarang kejayaan.

“Ini adalah semua sampel yang kami cuba pada masa lalu,” kata Mark Desire, yang mengetuai makmal jenayah pemeriksa perubatan.

Desire dan pasukan saintis makmal berkot putih menunjukkan langkah teknik analisis DNA terbaharu, yang digunakan ke atas serpihan tulang manusia ditemui di tempat kejadian.

Dikenali sebagai ‘World Trade Center Protocol,’ kaedah itu digunakan untuk membantu mengenal pasti mangsa nahas kereta api dan pesawat serta serangan pengganas di Argentina, Kanada, Afrika Selatan dan tempat lain, kata Desire.

Saintis menunjukkan bagaimana mereka membersihkan tulang, menukarnya kepada serbuk, menambah bahan kimia, menjalankan inkubasi sampel sebelum meletakkannya ke dalam mesin ekstrak automatik besar berwarna putih yang mengasingkan sebarang DNA daripada bahan rosak.

Lebih banyak tulang dihancurkan, lebih banyak kemungkinan ia mengekstrak DNA. Langkah baharu ialah meletakkan tulang dalam bekas mengandungi nitrogen cecair, yang menjadikan tulang lebih rapuh dan menggoncangkannya sehingga menjadi serbuk.

Desire memuji ketua pemeriksa perubatan yang membuat keputusan pada 2001 untuk memulihara tulang manusia dengan jangkaan lanjutan teknologi pengenalpastian DNA, menjadikannya mungkin buat saintis beberapa tahun kemudian mengenal pasti mangsa. -Reuters

Berita Harian X