Rabu, 22 Ogos 2018 | 1:38pm

Gempa bumi 7.3 landa Venezuela

CARACAS: Venezuela dilanda gempa bumi berkekuatan 7.3 magnitud dekat pantai timur laut negara itu, kata Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) tetapi tiada sebarang laporan kecederaan atau kerosakan.

Gegaran dapat dirasakan dalam tempoh beberapa saat dan menyebabkan panik di Caracas, terutamanya di bangunan tinggi, memaksa ramai dipindahkan kerana bimbang gempa susulan atau kerosakan struktur yang berkekalan.

Menteri Dalam Negeri Venezuela, Nestor Reverol berkata, gempa berpanjangan itu dapat dirasakan di beberapa negeri tetapi ketika ini tiada sebarang kematian dilaporkan.

Reverol berkata, jumlah kerosakan masih dalam penilaian.

USGS berkata, gegaran berlaku sejak jam 5.30 petang waktu tempatan, dengan pusat gempa dekat dengan kawasan pantai di negeri Sucre, pada kedalaman 123 kilometer.

Yayasan Siasatan Seismologi Venezuela mengukur gempa berada pada magnitud 6.3 dengan kedalaman sekitar 400 kilometer di timur ibu kota Caracas.

“Tidak ada ancaman tsunami dari gempa bumi ini,” kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik Amerika Syarikat. - AFP

Berita Harian X