Selasa, 31 Julai 2018 | 11:33pm

Washington beku aset tiga militan warga Pakistan

WASHINGTON: Amerika Syarikat bertindak membekukan semua aset milik tiga warga Pakistan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan, Lashkar-e-Taiba, yang didakwa bertanggungjawab dalam serangan ke atas Mumbai pada 2008.

Jabatan Negara berkata, Abdul Rehman Al-Dakhil adalah individu terbaru yang dimasukkan dalam senarai pengganas global yang dikeluarkan oleh negara itu, berikutan kedudukannya sebagai komander kanan kumpulan itu.

Sebelum ini, Jabatan Perbendaharaan menyasarkan dua individu, iaitu Hameed ul Hassan dan Abdul Jabbar, yang disyaki bertanggungjawab menyalurkan bantuan kewangan kepada Lashkar-e-Taiba, selain membayar gaji anggota kumpulan itu.

"(Jabatan) Perbendaharaan bukan sahaja mahu mendedah dan menutup rangkaian kewangan Lashkar-e Tayyiba, tetapi juga untuk menyekat kemampuan mereka untuk mengumpul dana bagi melancarkan serangan keganasan," kata Penolong Setiausaha Perbendaharaan (pengganas dan risikan kewangan), Sigal Mandelker dalam satu kenyataan.

Tindakan itu bermakna semua harta milik ketiga-tiga lelaki terbabit, yang tertakluk dalam bidang kuasa Amerika Syarikat akan dibekukan, dan mana-mana rakyat negara itu juga tidak dibenar mengadakan transaksi dengan mereka.

Sementara itu, Lashkar-e-Taiba adalah kumpulan militan anti India yang dikatakan mempunyai hubungan sejarah dengan agensi perisikan Pakistan.

Ia dituduh melancarkan beberapa serangan, termasuk ke atas Mumbai pada 2008 yang mengorbankan 166 mangsa dan enam daripadanya adalah warga Amerika Syarikat. - Reuters

Berita Harian X