Isnin, 4 Jun 2018 | 12:48pm
25 orang termasuk sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut dan hampir 300 lain cedera dalam letusan gunung berapi Fuego Guatemala. - Foto Reuters
25 orang termasuk sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut dan hampir 300 lain cedera dalam letusan gunung berapi Fuego Guatemala. - Foto Reuters

25 maut, 300 cedera akibat letusan Fuego

GUATEMALA CITY: Dianggarkan 25 orang termasuk sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut dan hampir 300 lain cedera dalam letusan paling ganas gunung berapi Fuego Guatemala, terburuk sejak lebih empat dekad lalu, kata pihak berkuasa.

Volcan de Fuego atau 'Gunung Berapi Api' memuntahkan aliran lahar panas merah sepanjang lapan kilometer dan mengeluarkan kepulan asap hitam tebal dan abu yang tersebar ke ibu kota ini dan rantau lain.

Mayat mangsa rentung terbaring di atas aliran berasap, piroklastik ketika penyelamat merawat mangsa yang parah selepas letusan. Ia adalah letusan kedua gunung berapi setinggi 3,763 meter tahun ini.

"Sungai lahar melimpah tebing dan menjejaskan perkampungan El Rodeo. Mangsa cedera, melecur dan maut," kata Setiausaha Agung Agensi Pengurusan Bencana Guatemala CONRED, Sergio Cabanas menerusi radio.

CONRED berkata, jumlah yang maut meningkat kepada 25 berbanding anggaran awal tujuh termasuk seorang kakitangannya. Kira-kira 3,100 penduduk dipindahkan dari kawasan itu.

Pihak berkuasa berkata, mangsa yang maut tertumpu di tiga bandar iaitu, El Rodeo, Alotenango dan San Miguel los Lotes.

Operasi menyelamat digantung sehingga jam 5 pagi waktu tempatan berikutan keadaan berbahaya dan cuaca buruk, kata Cecilio Chacaj, jurucakap jabatan bomba perbandaran.

Berpuluh video muncul di media sosial dan televisyen tempatan menunjukkan tahap kemusnahan.

"Malangnya El Rodeo ditimbus dan kami gagal untuk sampai ke perkampungan La Libertad kerana lahar dan mungkin ada mangsa yang maut di sana," kata Cabanas.

Presiden Jimmy Morales berkata, beliau memanggil menteri dan menimbang mengisytiharkan darurat di kawasan Chimaltenango, Escuintla dan Sacatepequez.

Pihak berkuasa berkata, letusan gunung berapi itu masih memberi bahaya dan menyebabkan lebih banyak aliran lumpur dan piroklastik.

"Suhu dalam aliran piroklastik boleh melebihi 700 darjah Celsius dan hujan abu gunung berapi boleh berada dalam lingkungan 15 kilometer.

"Ia mungkin menyebabkan lebih banyak aliran lumpur dan sungai berhampiran melimpah," kata Pengarah Institut Seismologi, Gunung Berapi dan Meteorologi Guatemala, Eddy Sanchez. -Reuters

Berita Harian X