Sabtu, 2 Jun 2018 | 8:20am
PENERBIT filem Hollywood, Harvey Weinstein. - Foto AFP
PENERBIT filem Hollywood, Harvey Weinstein. - Foto AFP

Tiga lagi aktres dedah salah laku seks Harvey Weinstein

NEW YORK: Tiga pelakon wanita mengemukakan tuntutan mahkamah baharu terhadap Penerbit filem Hollywood, Harvey Weinstein, hari ini atas dakwaan melakukan serangan seksual sekali gus menggesa mangsa lain tampil menyertai mereka.

Melissa Thompson, salah seorang daripada wanita yang mengemukakan tuntutan itu berkata, Weinstein, 66, menyerangnya ketika menghadiri satu mesyuarat pada 2011 bagi membincangkan mekanisma pemasaran baharu.

Susulan pendedahan besar-besaran mengenai tingkah laku liar Weinstein sejak hujung tahun lalu, Thompson dirujuk kepada peguam Benjamin Brafman dan Alex Spiro.

Brafman mewakili Weinstein dalam pendakwaannya minggu lepas terhadap kes rogol dan jenayah seksual.

"Thompson menyangkakan bahawa Brafman dan Spiro mewakili mangsa-mangsa serangan Weinstein," kata firma yang mewakili Thompson, Hagens Berman dalam satu kenyataan.

"Taktik kotor digunakan digunakan untuk memujuknya menyerahkan bukti visual dan audio mengenai kelakuan Weinstein," katanya.

"Melissa tidak tahu bahawa Brafman sebenarnya adalah ketua peguam bela kes jenayah Weinstein sehingga selepas menyerahkan video itu sebagai bukti."

Setakat ini, hampir 100 wanita mendakwa Weinstein melakukan jenayah dari gangguan seksual hingga kepada serangan dan rogol sejak sedekad lalu.

Salma Hayek, Gwyneth Paltrow dan Angelina Jolie serta berpuluh lagi pelakon wanita turut mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual penerbit itu. -AFP.

Berita Harian X