Rabu, 25 April 2018 | 8:04am
MOHAMMAD Javad Zarif ketika berucap pada mesyuarat PBB di New York. - Foto EPA
MOHAMMAD Javad Zarif ketika berucap pada mesyuarat PBB di New York. - Foto EPA

Iran tawar adakan dialog kekal keamanan

NEW YORK: Iran, semalam menjemput negara Teluk membuka rundingan mengenai keselamatan serantau, memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah tiba masanya bergerak daripada 'ilusi penguasaan' yang menyemarakkan perang.

Berucap pada mesyuarat PBB mengenai usaha mengekalkan keamanan, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, mencadangkan pembentukan 'forum dialog serantau.'

"Kami menjemput jiran yang sudah menyaksikan banyak perang, menyertai kami dalam usaha ini," katanya.

Inisiatif dibuat ketika Presiden Donald Trump bertemu dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron di Washington untuk berbincang kebimbangan mengenai pengaruh Iran di rantau berkenaan.

Trump mengancam membatalkan perjanjian nuklear pada 2015 yang dicapai dengan Iran kecuali kebimbangan mengenai program peluru berpandu Tehran dan peranan tentera di Syria, Yaman dan Lubnan dibincangkan.

"Tidak kira ke mana anda pergi di Asia Barat, Iran meninggalkan jejaknya," kata Trump kepada sidang akhbar bersama Macron do Washington.

Dalam ucapan di Perhimpunan Agung PBB, Zarif berkata 'kemaraan ilusi penguasaan atau cubaan mencapai keselamatan dengan mengorbankan keamanan pihak lain' menyebabkan konflik, yang merujuk kepada Arab Saudi.

Beliau berkata, penting untuk berubah kepada paradigma baru berdasarkan penggabungan tentera, daripada cuma satu pihak mahu menjadi yang terkuat di rantau itu. - AFP

Berita Harian X