Jumaat, 6 April 2018 | 10:42am

Britain, Russia berbalah lagi di PBB

NEW YORK: Russia memberi amaran kepada Britain bahawa 'ia bermain api dan akan menyesal' di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berhubung tuduhan Moscow bertanggungjawab meracun bekas pengintip Kremlin dan anak perempuannya.

Ia perbalahan kedua antara Russia dan Britain di badan dunia itu sejak serangan ejen saraf pada 4 Mac lalu ke atas Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, di Salisbury, England.

Russia, yang meminta Majlis Keselamatan mengadakan pertemuan semalam, menafikan dakwaan itu.

Serangan itu mencetuskan krisis diplomatik, dengan pengusiran beramai-ramai diplomat Russia dan Barat.

Majlis Keselamatan yang dianggotai 15 negara itu bermesyuarat buat kali pertama mengenai isu itu pada 14 Mac lalu atas permintaan Britain.

"Kami memberitahu rakan kami di Britain bahawa mereka bermain dengan api dan mereka akan menyesal," kata Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia, dalam ucapan selama 30 minit dalam usaha mencari kesilapan dalam dakwaan Britain terhadap Moscow.

Beliau berkata, sesiapa yang menonton siri jenayah televisyen Britain seperti 'Midsomer Murder' akan mengetahui 'ratusan cara bijak membunuh seseorang', untuk menggambarkan 'risiko dan bahaya' kaedah yang dikatakan Britain digunakan untuk mensasarkan Skripal.

Polis Britain percaya ejen saraf ditinggalkan di depan pintu depan rumah Skripal di Salisbury, daerah didiaminya selepas dibebaskan dalam kes pertukaran pengintip.

Beliau ialah perisik tentera berpangkat kolonel yang mengkhianati puluhan ejen Russia untuk berpaling tadah kepada perkhidmatan perisikan MI6 Britain. - Reuters

Berita Harian X