Isnin, 26 March 2018 | 7:16am
TRUMP dikatakan bercadang untuk mengusir beberapa orang diplomat Russia di Amerika Syarikat, sebagai sokongan kepada Britain. - Foto AFP
TRUMP dikatakan bercadang untuk mengusir beberapa orang diplomat Russia di Amerika Syarikat, sebagai sokongan kepada Britain. - Foto AFP

Trump usir diplomat Russia di Amerika Syarikat

WASHINGTON: Presiden Donald Trump dikatakan bercadang untuk mengusir beberapa orang diplomat Russia di Amerika Syarikat, sebagai sokongan kepada Britain susulan kejadian meracun bekas perisik Russia di selatan England.

Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan situasi itu, keputusan itu bergantung kepada tindak balas yang bakal diambil oleh Kesatuan Eropah berhubung insiden serangan menggunakan agen saraf itu.

"Pengumuman mengenai keputusan Amerika Syarikat itu akan dibuat seawal hari ini (Isnin)," kata sumber itu.

Pada Jumaat lalu, anggota Kesatuan Eropah bersetuju untuk menguatkuasa pendekatan tambahan terhadap Russia selepas serangan terhadap bekas perisiknya yang belot, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia.

Kedua-duanya kini dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 4 Mac lalu di Salisbury, selatan England.

Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Raj Shah, berkata Amerika Syarikat sedang mengkaji bentuk tindak balas terhadap Russia tetapi enggang mengulas lanjut mengenainya. - Reuters

Berita Harian X