Khamis, 22 Februari 2018 | 8:00am
Kepulan asap akibat letupan bom di bandar Hamouriyeh, timur Ghouta, berhampiran Damsyik, Syria. - Foto REUTERS
Kepulan asap akibat letupan bom di bandar Hamouriyeh, timur Ghouta, berhampiran Damsyik, Syria. - Foto REUTERS

PBB didesak laksana gencatan senjata di Syria

NEW YORK (PBB): Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dijangka mengadakan undian hari ini, terhadap draf resolusi bagi mendesak gencatan senjata selama 30 hari di Syria.

Menurut beberapa diplomat, resolusi itu bertujuan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan pemindahan perubatan di negara itu.

Sweden dan Kuwait yang bertanggungjawab merangka resolusi itu memohon supaya proses pengundian dilaksanakan 'secepat mungkin' dan ia dijangka diadakan pada Khamis.

Namun, tidak diketahui sama ada Russia akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang draf resolusi terbabit.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mendesak supaya 'aktiviti perang' di Timur Ghouta, yang dikuasai pemberontak Syria ditamatkan.

Gutteres berkata, nasib 400,000 orang awam di Timur Ghouta kini terancam dan angka kematian semakin meningkat susulan serangan udara oleh tentera kerajaan.

Pada masa sama, Russia menggesa supaya UNSC mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan krisis di Timur Ghouta.

Duta Russia, Vassily Nebenzia menganggap krisis itu sebagai satu 'situasi yang kompleks'.

Penduduk tempatan membawa mangsa runtuhan bangunan yang dibom di bandar Hamouriyeh, berhampiran Damsyik, Syria. - Foto REUTERS
Penduduk tempatan membawa mangsa runtuhan bangunan yang dibom di bandar Hamouriyeh, berhampiran Damsyik, Syria. - Foto REUTERS

Draf resolusi itu mendesak supaya gencatan senjata itu dikuatkuasakan dalam tempoh 72 jam selepas ia diluluskan, bagi membolehkan penghantaran bantuan dan pemindahan perubatan bermula 48 jam selepas itu.

Ia juga mendesak supaya kepungan, termasuk di Timur Ghouta, Yarmouk, Foua dan Kefraya ditarik balik serta mengarahkan semua pihak berhenti daripada menghalang penghantaran makanan dan perubatan kepada penduduk awam di kawasan terbabit. - AFP

Berita Harian X