Khamis, 2 November 2017 | 9:39am
KEADAAN kapal pemusnah USS Fitzgerald selepas merempuh kapal kargo Filipina di luar pantai Jepun. - Foto AFP
KEADAAN kapal pemusnah USS Fitzgerald selepas merempuh kapal kargo Filipina di luar pantai Jepun. - Foto AFP

Nahas kapal laut AS boleh dielak: Laporan

WASHINGTON: Dua pertembungan kapal perang di Pasifik yang menyebabkan 17 kelasi Amerika Syarikat (AS) maut boleh dielak dan berpunca daripada 'pelbagai kegagalan' pengawasan, kata Tentera Laut AS dalam satu laporan semalam.

Insiden berasingan itu mengetengahkan kegagalan kepimpinan dan tekanan pengerahan kerap di seluruh rantau Pasifik, namun juga menekankan kelemahan kru yang tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap laluan perkapalan sibuk.

"Kedua-dua kemalangan itu boleh dicegah dan siasatan masing-masing menemui pelbagai kegagalan oleh pemerhati yang menyumbang kepada insiden itu. Kita perlu melakukan lebih baik lagi," kata Ketua Operasi Tentera Laut, Laksamana John Richardson.

Pada 17 Jun lalu, USS Fitzgerald, sebuah kapal pemusnah, merempuh kapal kargo Filipina di luar pantai Jepun, menyebabkan tujuh kelasi maut dan menjurus beberapa pegawai di disiplinkan.

"Pertembungan itu boleh dielak dan mengakibatkan pengumpulan kesilapan kecil sejajar masa. Ia menyebabkan kurangnya pematuhan terhadap amalan nyata pengemudian.

"Terutamanya, pasukan pemerhati Fitzgerald mengabaikan pengurusan asas hubungan dan lebih penting lagi, kepimpinan gagal mematuhi protokol sedia ada bagi menghalang pertembungan," kata laporan.

Pegawai arahan, eksekutif dan kelasi kanan di atas Fitzgerald sudah dipecat daripada tugas masing-masing.

Insiden maut kedua berlaku 21 Ogos lalu apabila kapal pemusnah USS John S. McCain dalam perjalanan ke Singapura bertembung dengan kapal dagang Alnic MC, menyebabkan badan kapal berlubang, meragut 10 nyawa kelasi serta mencederakan berpuluh yang lain.

"Pertembungan antara John S. McCain dan Alnic MC juga boleh dielak dan disebabkan terutama daripada sikap terlebih yakin dan kekurangan pematuhan prosedur.

"Faktor penyumbang utama pertembungan itu adalah tahap pengetahuan sub-standard berkaitan operasi kawalan konsol kapal," kata laporan.

Penyiasat menyalahkan pegawai arahan kapal yang 'tidak mengendahkan cadangan daripada pegawai eksekutif, pengemudi dan pegawai pemerhati kanan untuk menyediakan pasukan pemerhati di laut dan sauh pada masa sesuai bagi memastikan operasi selamat dan berkesan kapal.' - AFP

Berita Harian X