Sabtu, 11 Mei 2024 | 10:51pm
Mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah timbunan runtuhan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. - Herman Pieters/Garden Route District Municipality/Handout via REUTERS
Mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah timbunan runtuhan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. - Herman Pieters/Garden Route District Municipality/Handout via REUTERS

Lelaki diselamatkan selepas 116 jam tertimbus bawah runtuhan bangunan

JOHANNESBURG: Seorang lelaki berjaya diselamatkan, hari ini, selepas kira-kira 116 jam tertimbus bawah timbunan runtuhan sebuah bangunan di Afrika Selatan.

Perdana Menteri Cape Barat, Alan Winde, menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai 'satu keajaiban' yang diharap-harapkan selepas tragedi pada Isnin lalu itu mengorbankan sekurang-kurang 13 nyawa.

Dalam kejadian itu, sebuah blok pangsapuri yang sedang dalam pembinaan di bandar George, runtuh ketika 81 pekerja berada di tapak berkenaan.

Ketua operasi mencari dan menyelamat (SAR), Colin Deiner ketika menceritakan detik penemuan mangsa yang terselamat itu, berkata anggota terdengar suara dari bawah timbunan runtuhan ketika turun ke satu bahagian tapak berkenaan.

"Anggota penyelamat kemudian memanggil mangsa dan lelaki itu membalas semula sambil memberitahu kakinya terhempap.

"Kami sangat bimbang kerana mangsa sudah begitu lama terperangkap bawah runtuhan," katanya.

Selepas beberapa jam berusaha, mangsa berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pasukan SAR bertungkus lumus meneruskan operasi di lokasi yang menyaksikan 29 mangsa telah diselamatkan, setakat ini, manakala 39 lagi masih hilang. - AFP

Berita Harian X