Ahad, 21 April 2024 | 8:32am
Bot kayu itu membawa lebih 300 orang dengan ada yang berdiri dan yang lain bertenggek di atas struktur kayu ketika ia karam di Sungai Mpoko. - Foto AFP
Bot kayu itu membawa lebih 300 orang dengan ada yang berdiri dan yang lain bertenggek di atas struktur kayu ketika ia karam di Sungai Mpoko. - Foto AFP

58 maut selepas bot karam di Afrika Tengah

BANGUI (Republik Afrika Tengah): Sekurang-kurangnya 58 orang yang pergi ke acara pengebumian maut selepas bot yang sarat muatan mereka terbalik di Sungai Mpoko di ibu negara Republik Afrika Tengah Bangui, kata ketua perlindungan awam, semalam.

"Kami dapat mengeluarkan 58 mayat tidak bernyawa. Kami tidak tahu jumlah mangsa yang berada di bawah air," kata Thomas Djimasse kepada Radio Guira.

Menurut saksi dan video di media sosial, bot kayu itu membawa lebih 300 orang dengan ada yang berdiri dan yang lain bertenggek di atas struktur kayu ketika ia karam di Sungai Mpoko, kelmarin.

Bot itu sedang menuju ke acara pengebumian ketua kampung di Makolo, kira-kira 45 kilometer (28 batu) dari Bangui, tetapi mengalami kesukaran sejurus berlepas dari jeti.

Perkhidmatan menyelamat tiba 40 minit selepas bencana itu.

Kerajaan tidak bertindak balas pada Sabtu tetapi dalam ucapan yang dirakamkan pada Jumaat dan disiarkan sehari kemudian, jurucakap kerajaan Maxime Balalou melaporkan "ketika ini sekurang-kurangnya 30 orang mati."

Kerajaan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan, katanya, mengumumkan pembukaan siasatan dan penubuhan sistem sokongan untuk keluarga mangsa.

Maurice Kapenya yang mengekori bot menaiki sampan kerana tiada ruang di atas kapal berkata, kakaknya sendiri adalah antara mayat mangsa yang ditemuinya.

Dia dibantu oleh nelayan tempatan dan penduduk. Sementara itu, teksi motosikal memindahkan beberapa mangsa yang cedera.

Pemandu, Francis Maka memberitahu AFP dia telah "membawa lebih 10 orang ke hospital komuniti... secara percuma, dalam menghadapi tragedi itu."

wartawan AFP memerhatikan, dengan pasukan perlindungan awam tidak lagi berada di tempat kejadian pada Sabtu, keluarga terdesak mencari orang tersayang yang hilang berhampiran sungai membantu pengendali kanu yang diupah mereka.

Beberapa parti pembangkang menyatakan solidariti dengan keluarga dan menggesa untuk berkabung.

Republik Afrika Tengah disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai negara kedua paling kurang membangun di dunia.

Perang saudara telah melanda bekas tanah jajahan Perancis itu sejak pakatan bersenjata yang didominasi Muslim yang dipanggil Seleka menggulingkan bekas Presiden Francois Bozize pada 2013. -AFP

Berita Harian X