Ahad, 14 April 2024 | 10:06pm
Serangan terbaharu itu didakwa dilakukan oleh pemberontak ADF yang bergabung dengan Daesh. - Foto AGENSI
Serangan terbaharu itu didakwa dilakukan oleh pemberontak ADF yang bergabung dengan Daesh. - Foto AGENSI

15 maut dipenggal kepala

BENI: Sekitar 10 hingga 15 orang awam terbunuh dalam serangan di wilayah Beni dekat timur Congo.

Serangan terbaharu itu didakwa dilakukan oleh pemberontak ADF yang bergabung dengan Daesh, kata sumber tempatan hari ini.

Berikutan itu, seorang pemimpin masyarakat sivil di Beni, Pepin Kavota, menggesa agar pihak berkuasa campur tangan.

"Adalah mendesak pihak berkuasa menghentikan kebiadaban ini.

"Kebanyakan mangsa dipenggal kepala," katanya.

Seorang pegawai di bandar Mulekera di barat laut Beni, Antoine Kambale, berkata tempat tinggalnya sering kali menjadi sasaran serangan ADF.

Beliau berkata, terdapat 14 orang awam terbunuh kelmarin di beberapa lokasi dalam kawasan kejiranan itu.

Selain diserang, katanya kumpulan itu juga bertindak membakar sebuah pusat kesihatan di mana mereka merompak bekalan perubatan sama seperti kejadian yang berlaku dua minggu lalu di wilayah kecil Beni dekat Magina, menyaksikan 10 orang terbunuh.

"Selama sebulan kawasan kejiranan kami menjadi mangsa serangan AFP berulang kali," katanya sambil menambah serangan baharu menyasarkan seorang lagi pada malam tadi dan hari ini.

Dalam serangan itu, dua lagi maut masing-masing seorang wanita dan seorang pegawai polis.

Sementara itu, Datuk Bandar Mulekera, Kolonel Ngongo Mayanga, mengesahkan serangan terbaharu itu mengakibatkan lebih 10 orang maut.

"Buat masa ini, kami berada di peringkat mengumpul mayat. Tentera sedang dikerahkan dalam jumlah besar untuk menentang ancaman itu," katanya. - AFP

Berita Harian X