Ahad, 14 April 2024 | 9:36am
penduduk setempat lalu lalang tanpa mempedulikan mayat di tepi jaman di Port-au-Price, Haiti, yang bergolak kerana rebutan kuasa. - Foto AFP
penduduk setempat lalu lalang tanpa mempedulikan mayat di tepi jaman di Port-au-Price, Haiti, yang bergolak kerana rebutan kuasa. - Foto AFP

20 mayat disyaki PATI dari Haiti ditemukan reput dalam bot di Brazil

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 20 orang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Haiti ditemukan maut dalam sebuah bot di utara Brazil, dengan mayat dalam keadaan reput dan menunjukkan tanda dehidrasi serta kelaparan, kata polis pada Sabtu.

Nelayan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa selepas menemui bot terbabit berhampiran bandar Braganca, yang terletak di pantai utara Brazil di negeri Para, kata jurucakap polis Persekutuan kepada AFP.

"Menurut pakar polis sivil dan forensik, terdapat sekurang-kurangnya 20 mayat. Ketua polis Persekutuan bagi Braganca, Alexandre Calvinho, berkata mereka dipercayai pelarian Haiti.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut diperlukan untuk mengesahkan punca kematian dan identiti mangsa," kata polis dalam kenyataan.

Tambah Calvinho, pakar forensik juga perlu mengesahkan jumlah sebenar mangsa.

Pekerja kecemasan sedang menunda bot itu ke sebuah kampung bernama Vila Tamatateua, di mana penyiasat merancang untuk mengeluarkan mayat.

Mangsa "dipercayai mati kerana kelaparan dan dehidrasi, tetapi analisis lanjut diperlukan. Siasatan sedang dijalankan," kata polis.

Pejabat pendakwa persekutuan dalam kenyataan, berkata ia membuka kedua-dua siasatan jenayah dan sivil mengenai kes itu.

Media tempatan melaporkan, nelayan menemui bot kecil itu pada awal Sabtu di pantai Lautan Atlantik terpencil antara bandar Braganca dan Quatipuru, yang terletak sekitar 3,500 kilometer (km) dari Haiti.

Laman berita G1 menyiarkan video yang dikaitkan dengan salah seorang nelayan, yang menunjukkan sebuah bot kayu dengan cat biru pudar terapung di air yang cetek.

"Terdapat banyak mayat," kedengaran seorang lelaki berkata dalam video itu.

Haiti kini berada dalam cengkaman krisis kemanusiaan dan keselamatan yang semakin mendalam.

Sejak akhir Februari lalu, beberapa kumpulan berkuasa bekerjasama untuk melancarkan serangan serentak di seluruh negara Caribbean dengan menyerang balai polis, penjara dan lapangan terbang, membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri, Ariel Henry.

Agensi penghijrahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), pada bulan ini berkata, perkembangan itu mendorong penghijrahan penduduk dari negara berkenaan.

Ia berkata, Haiti mempunyai lebih 360,000 pelarian dalaman, termasuk yang terpaksa berpindah randah berkali-kali ganda, malah kira-kira 13,000 pendatang Haiti dihantar pulang secara paksa oleh negara jiran pada Mac.

Brazil, ekonomi terbesar Amerika Latin, menjadi destinasi yang kerap dipilih PATI dari Haiti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Agensi pelarian PBB menganggarkan, pada tahun lalu, terdapat kira-kira 161,000 orang Haiti tinggal di Brazil. - AFP

Berita Harian X