Isnin, 8 April 2024 | 2:16pm
Foto AGENSI
Foto AGENSI

Lebih 90 maut bot karam di Mozambique

NAIROBI: Lebih 90 maut selepas sebuah bot karam di luar pantai utara Mozambique, lapor British Broadcasting Corp (BBC), memetik pihak berkuasa tempatan, manakala lima diselamatkan daripada hampir 130 yang dipercayai berada dalam bot itu.

Mereka melarikan diri daripada wabak kolera, kata BBC pada Ahad, memetik setiausaha negara untuk wilayah Nampula, Jaime Neto, berhampiran lokasi kejadian.

"Disebabkan bot itu terlalu sesak dan tidak sesuai untuk membawa penumpang, ia akhirnya tenggelam," katanya dan memaklumkan ramai kanak-kanak antara mangsa yang maut.

Video yang disiarkan di media sosial X menunjukkan banyak mayat terdampar di pantai dan beberapa orang membawa mayat kanak-kanak.

Reuters tidak dapat mengesahkan video itu dengan segera.

Neto berkata, penyiasat sedang berusaha untuk mengetahui punca insiden bot itu, lapor The Guardian memetik AFP.

Laporan itu berkata, dua daripada lima mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan perubatan.

Pegawai kerajaan tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

BBC berkata, bot itu dalam perjalanan dari Lunga di wilayah itu ke pulau Mozambique, di luar pantai Nampula.

Berita Harian X