Selasa, 2 April 2024 | 9:52pm
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, akan mengangkat sumpah untuk penggal ketiga berturut-turut. - Foto AGENSI
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, akan mengangkat sumpah untuk penggal ketiga berturut-turut. - Foto AGENSI

Sisi angkat sumpah penggal ketiga, hari ini

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi akan mengangkat sumpah untuk penggal ketiga berturut-turut hari ini di ibu kota baharu yang sedang dibina di luar Kaherah, lapor akhbar kerajaan Al-Ahram, semalam.

Al-Ahram melaporkan, Sisi yang berkuasa selama lebih sedekad akan mengangkat sumpah jawatan perlembagaan hari ini di premis parlimen baharu di ibu kota pentadbiran di timur Kaherah.

Secara rasmi, Sisi yang berusia 69 tahun akan memulakan penggalnya pada esok, lebih tiga bulan selepas beliau dipilih semula dengan sokongan 89.6 peratus undi berbanding tiga calon yang kebanyakannya tidak dikenali.

Sisi ialah bekas ketua tentera dan menteri pertahanan, yang mengetuai penyingkiran bekas presiden Mohamed Morsi susulan protes besar-besaran di seluruh negara.

Mengikut perlembagaan, penggal baharunya itu iaitu selama enam tahun sepatutnya menjadi yang terakhir,

Ahli Parlimen, Mustafa Bakri, yang rapat dengan kuasa pemerintah berkata, kerajaan mungkin akan meletak jawatan selepas pelantikan Sisi untuk membenarkan rombakan kabinet.

Angkat sumpah itu akan dibuat dengan latar belakang krisis ekonomi yang teruk, dengan inflasi yang melambung tinggi dan kekurangan mata wang asing yang menyekat perdagangan asing.

Bagaimanapun, pada trimester pertama 2024, Mesir mendapat manfaat daripada kemasukan berbilion dolar, yang mana AS$35 bilion (RM166.4 bilion) datang dari Emiriah Arab Bersatu, dan peningkatan AS$5 bilion (RM23.7 juta) daripada pinjaman asal AS$3 bilion (RM14.2 bilion) daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Penyokong Sisi berkata, pengaliran mata wang asing akan menggiatkan semula ekonomi, tetapi pemerhati ragu-ragu akan ada sebarang penambahbaikan tanpa reformasi struktur untuk mengurangkan peranan luar biasa tentera dan kerajaan dalam ekonomi. - AFP

Berita Harian X