Isnin, 1 April 2024 | 2:55pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Rumah Perdana Menteri Libya diserang guna RPG

TRIPOLI: Kediaman Perdana Menteri Libya, Abdulhamid al-Dbeibah semalam, menjadi sasaran bom dilancar roket (RPG), namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Bercakap kepada Reuters, seorang menteri Libya yang enggan dikenali mengesahkan serangan itu hanya mengakibatkan sedikit kerosakan, namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, dua penduduk setempat berkata, mereka mendengar bunyi letupan berhampiran laut di kawasan Hay Andalus, Tripoli, lokasi kediaman Abdulhamid, dengan pasukan keselamatan dikerahkan ke lokasi sejurus selepas kejadian.

Libya menikmati sedikit kedamaian atau kestabilan sejak pemberontakan disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011, sebelum perpecahan berlaku antara puak di timur dan barat dengan pesaing mentadbir kawasan masing-masing.

Kerajaan Kesatuan Kebangsaan diterajui Abdulhamid dibentuk melalui proses disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2021, tetapi Parlimen di timur tidak mengiktiraf keabsahannya pada akhir tahun sama, selepas gagal mengadakan pilihan raya kebangsaan, menyebabkan kebuntuan politik yang berlarutan.

Pada awal Mac, tiga pemimpin utama dilapor berkata, bersetuju mengenai 'keperluan' membentuk kerajaan bersatu baharu bagi mengawasi pilihan raya yang lama tertunda.

Abdulhamid berikrar untuk tidak menyerahkan kuasa kepada kerajaan baru tanpa pilihan raya kebangsaan. - REUTERS

Berita Harian X