Ahad, 31 March 2024 | 11:07pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Dua maut dan 2,000 hilang tempat tinggal akibat kebakaran

JOHANNESBURG: Dua orang maut dan hampir 2,000 kehilangan tempat tinggal apabila kebakaran melanda ratusan pondok dalam tiga kejadian berasingan di Cape Town, Afrika Selatan pada hujung minggu, menurut perkhidmatan kecemasan, hari ini.

Dua daripada kebakaran berlaku pada petang semalam dan satu pada awal pagi tadi.

Jurucakap bomba dan penyelamat Cape Town, Jermaine Carelse dalam satu kenyataan, berkata seorang lelaki dan wanita dewasa mengalami luka melecur teruk dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di satu penempatan.

Kebakaran terbesar berlaku kira-kira jam 2.30 pagi tadi menyebabkan lebih 1,000 orang kehilangan tempat tinggal di penempatan Mfuleni, kira-kira 30 kilometer tenggara Cape Town.

"Punca kebakaran sedang disiasat," kata Carelse.

Kebakaran penempatan adalah perkara biasa di Afrika Selatan, menjadi ancaman berterusan kepada penduduk miskin di penempatan tidak formal yang luas berhampiran bandar-bandar utama di seluruh negara.

Menurut Kementerian Perumahan pada tahun 2022, 12.3 peratus orang tinggal di pondok di Afrika Selatan.

Selepas 30 tahun tamatnya apartheid, pemilikan tanah dan dasar perumahan masih menjadi isu yang hangat dipertikaikan dalam politik negara dan perkara utama dalam pilihan raya 29 Mei akan datang.

Badan amal Muslim Afrika Selatan Gift of the Givers memberitahu AFP, bantuan kemanusiaan kepada gelandangan di ketiga-tiga lokasi, termasuk makanan panas dan air minuman bersih serta selimut, tilam dan produk penjagaan bayi.

Menurut badan itu, segelintir orang sedang dirawat kerana kecederaan, manakala seorang masih hilang, sambil menambah bahawa balai raya sedang dianjurkan untuk menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal. - AFP

Berita Harian X