Rabu, 27 March 2024 | 4:46pm
Penunjuk perasaan memegang poster ahli politik, peguam dan ahli politik sekular yang terbunuh Chokri Belaid semasa perarakan membantah undang-undang yang menawarkan pengampunan kepada mereka yang dituduh rasuah, di Tunis, Tunisia. - Foto AGENSI
Penunjuk perasaan memegang poster ahli politik, peguam dan ahli politik sekular yang terbunuh Chokri Belaid semasa perarakan membantah undang-undang yang menawarkan pengampunan kepada mereka yang dituduh rasuah, di Tunis, Tunisia. - Foto AGENSI

Pembunuh pemimpin politik Tunisia dihukum mati, penjara

TUNIS: Mahkamah Tunisia menjatuhkan hukuman mati dan penjara seumur hidup terhadap enam suspek atas tuduhan terbabit dalam pembunuhan pemimpin politik terkemuka, Chokri Belaid, 11 tahun lalu.

Melalui keputusan hari ini, mahkamah memutuskan empat suspek dihukum mati, manakala dua lagi suspek penjara seumur hidup dalam kes pembunuhan politik pertama negara itu dalam tempoh beberapa dekad.

Susulan prosiding keputusan itu, puluhan penyokong Belaid berkumpul sejak malam sebelumnya dengan melaungkan slogan menuntut keadilan.

Mereka melaungkan 'Chokri sentiasa hidup' dan 'kami setia kepada darah syuhada'.

Belaid, seorang ahli politik berhaluan kiri, dan sering menjadi pengkritik parti Islam Ennahda, ditembak mati di dalam keretanya pada 6 Februari 2013.

Pembunuhan Belaid mengejutkan negara dan mencetuskan protes ganas secara besar-besaran.

Walaupun Belaid tidak mempunyai pengikut politik yang ramai, namun kritikannya terhadap dasar Ennahda menjadi suara ramai rakyat Tunisia yang takut sekiranya pihak radikal agama menghapuskan kebebasan yang dimenangi dalam pemberontakan pertama melanda dunia Arab.

Beberapa bulan selepas pembunuhan Belaid, Mohamed Brahmi seorang lagi berhaluan kiri, turut ditembak mati oleh lelaki bersenjata, sekaligus menyebabkan protes besar-besaran.

Tekanan politik akhirnya memaksa kerajaan pimpinan Islam berundur pada masa itu.

Mereka yang terbabit dalam pembunuhan Belaid dan Brahmi adalah ahli jihad Ansar al-Sharia, sebuah pertubuhan yang diklasifikasikan sebagai 'kumpulan pengganas' oleh kerajaan pada Ogos 2013.

Keluarga Belaid dan ahli politik sekular menuduh pemimpin parti Islam Ennahda turut bersubahat terhadap pembunuhan itu ketika mereka memimpin kerajaan.

Ennahda bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya pihaknya mempunyai sebarang kaitan dengan pembunuhan itu.

"Butiran yang dilihat dalam kalangan kehakiman jelas menunjukkan bukti Ennahda tidak bersalah", katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, keputusan itu harus mengembalikan penghormatan kepada mereka yang terjejas disebabkan tuduhan politik palsu, terutamanya pemimpin Ennahda, Rached Ghannouchi.

Ennahda turut mahu halaman baharu perdamaian diwujudkan semula dan menamatkan persengketaan serta kebencian. - REUTERS

Berita Harian X