Sabtu, 16 March 2024 | 8:12am
Pelarian Sudan berkumpul ketika pasukan Doctors Without Borders (MSF) membantu mangsa yang cedera akibat perang dari Darfur Barat, Sudan, di hospital Adre, Chad, pada 16 Jun 2023. - Foto REUTERS
Pelarian Sudan berkumpul ketika pasukan Doctors Without Borders (MSF) membantu mangsa yang cedera akibat perang dari Darfur Barat, Sudan, di hospital Adre, Chad, pada 16 Jun 2023. - Foto REUTERS

PBB beri amaran bencana kebuluran di Sudan

NEW YORK: Hampir lima juta penduduk yang tinggal di kawasan konflik dilanda peperangan di Sudan berisiko berdepan kebuluran yang teruk dalam beberapa bulan akan datang.

Amaran itu dikeluarkan Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths kepada Majlis Keselamatan PBB semalam dalam nota dilihat Reuters .

Griffiths berkata tahap kebuluran yang teruk didorong kesan konflik terhadap pengeluaran pertanian, kerosakan kepada infrastruktur dan mata pencarian utama, gangguan kepada aliran perdagangan, kenaikan harga yang tinggi, halangan kepada akses kemanusiaan dan perpindahan berskala besar.

"Tanpa bantuan kemanusiaan segera dan akses kepada komoditi asas... hampir lima juta orang boleh tergelincir ke dalam bencana ketidakamanan makanan di beberapa bahagian negara dalam beberapa bulan akan datang," tulis Griffiths.

Beliau berkata berkemungkinan segelintir penduduk di Darfur Barat dan Tengah akan berpindah ke keadaan kebuluran itu apabila keselamatan semakin teruk.

Penghantaran bantuan rentas sempadan dari Chad ke Darfur ialah "talian hayat kritikal," kata Griffiths.

Hampir 730,000 kanak-kanak di seluruh Sudan dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk, termasuk lebih 240,000 kanak-kanak di Darfur, menurut Griffiths.

Perang meletus di Sudan pada 15 April 2023, antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF). PBB telah menyatakan hampir 25 juta orang iaitu separuh penduduk Sudan memerlukan bantuan dan kira-kira lapan juta telah meninggalkan rumah mereka.

Amerika Syarikat mengatakan pihak yang berperang telah melakukan jenayah perang.

Di bawah resolusi Majlis Keselamatan 2018, setiausaha agung PBB dikehendaki melaporkan kepada badan 15 anggota itu apabila terdapat "risiko kebuluran yang disebabkan oleh konflik dan ketidakamanan makanan yang meluas dalam konflik bersenjata."

Sejak permulaan perang di Sudan, Griffiths berkata, lebih 1,000 insiden ke atas akses bantuan telah direkodkan yang telah "menjejaskan operasi kemanusiaan."

Beliau berkata 71 peratus disebabkan konflik atau keganasan yang disengajakan terhadap aset kemanusiaan atau pekerja bantuan.

Berita Harian X