Rabu, 13 March 2024 | 10:44am
Mangsa perang di Sudan menaiki trak untuk meninggalkan wilayah yang bergolak, di Wad Madani, ibu negeri al-Jazirah. - Foto AFP
Mangsa perang di Sudan menaiki trak untuk meninggalkan wilayah yang bergolak, di Wad Madani, ibu negeri al-Jazirah. - Foto AFP

230,000 kanak-kanak, ibu baharu berisiko mati kebuluran di Sudan - NGO

PORT SUDAN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) , Save the Children, hari ini menyatakan kebimbangan mengenai nasib hampir 230,000 kanak-kanak dan ibu baharu di Sudan yang dilanda perang berisiko mati kebuluran sekiranya tiada bantuan segera.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara itu dilanda pertempuran hampir 11 bulan disebabkan persaingan dua pasukan tentera jeneral, menyebabkan ribuan terbunuh selain lapan juta orang kehilangan tempat tinggal di negara timur laut Afrika itu.

Keadaan Sudan yang dilanda perang, pemusnahan ladang dan kilang menjerumuskan negara itu ke dalam krisis makanan 'antara yang paling teruk di dunia', kata Pengarah Save the Children Sudan, Arif Noor.

"Hampir 230,000 kanak-kanak, wanita hamil dan ibu baru melahirkan berisiko meninggal dunia dalam tempoh beberapa bulan akan datang sekiranya tidak dibantu," kata NGO Britain itu.

Badan amal itu berkata, lebih 2.9 juta kanak-kanak di Sudan mengalami kekurangan zat makanan akut dan tambahan 729,000 kanak-kanak bawah lima tahun mengalami kekurangan zat makanan akut iaitu kelaparan melampau paling berbahaya dan boleh meragut nyawa.

Sehubungan itu, NGO terbabit memberi amaran mengenai risiko kira-kira 222,000 kanak-kanak kekurangan zat makanan teruk dan lebih 7,000 ibu baru bersalin mungkin meninggal dunia.

Penduduk Sudan yang menjadi pelarian menunggu giliran mendaftar sebagai pencari suaka politik, di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Renk, Sudan Selatan. - Foto AFP
Penduduk Sudan yang menjadi pelarian menunggu giliran mendaftar sebagai pencari suaka politik, di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Renk, Sudan Selatan. - Foto AFP

Ini berikutan dana yang sedia ada bagi pembiayaan semasa 'hanya meliputi 5.5 peratus' daripada jumlah keperluan di keseluruhan Sudan.

Program Makanan Sedunia (WFP) PBB sudah membunyikan penggera kecemasan di Sudan bulan ini dengan memberi amaran perang di Sudan berisiko mencetuskan krisis kebuluran terbesar di dunia.

Konflik itu, yang dibimbangi pakar akan berlarutan selama bertahun-tahun antara ketua tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, dan bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo, yang juga komander kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

Dalam pada itu, Noor memberi amaran keadaan akan bertambah buruk akibat kesan pertempuran semasa yang terus berlanjutan.

"Tiada tanaman 'tahun lalu' bermakna tiada makanan 'hari ini'. Tiada tanam 'hari ini' bermakna tiada makanan 'tahun depan'. Kitaran kebuluran semakin teruk dan tiada penghujung, yang tinggal hanya lebih banyak kesengsaraan," katanya.

Menurut PBB pula, lebih separuh rakyat Sudan termasuk 14 juta kanak-kanak, memerlukan bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.

Penduduk Sudan yang melarikan diri dari peperangan di negara sendiri kini cuba mendapatkan perlindungan di negara jiran seperti Chad. - Foto AGENSI
Penduduk Sudan yang melarikan diri dari peperangan di negara sendiri kini cuba mendapatkan perlindungan di negara jiran seperti Chad. - Foto AGENSI

PBB menggambarkan 'Sudan diselubungi keganasan semata-mata' dengan laporan penggunaan artileri berat di kawasan bandar yang padat penduduk, keganasan seksual sebagai senjata perang, pemusnahan hospital dan sekolah.

Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah menuduh kedua-dua pihak melakukan jenayah perang dan mendakwa RSF melakukan pembersihan etnik serta jenayah kemanusiaan.

Majlis Hak Asasi Manusia PBB sebelum ini sudah memperincikan laporannya mengenai pelanggaran besar-besaran dan penyalahgunaan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta kemungkinan jenayah perang.

Terdahulu pada Mac, Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk menggelar konflik itu sebagai 'hidup dalam mimpi ngeri' dan berkata keadaan itu sudah menjerumuskan Sudan dalam kabus amnesia global berikutan perang di ukrtaine dan perang Israel-Palestin.

Konflik itu menyebabkan 18 juta orang tiada akses kepada makanan, termasuk lima juta yang hanya berada satu tahap sahaja daripada daripada ambang kebuluran.

Pertubuhan kemanusiaan dihalang daripada memasuki Sudan atau bergerak bebas, malah diserang oleh kedua-dua pihak, menyebabkan tidak ramai yang masu memasuki kawasan konflik itu. - AFP

Berita Harian X