Khamis, 29 Februari 2024 | 8:00am
Kawasan pesisiran pantai Ngor di Dakar, Senegal yang menjadi antara lokasi pelepasan bot pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Eropah. - Foto REUTERS
Kawasan pesisiran pantai Ngor di Dakar, Senegal yang menjadi antara lokasi pelepasan bot pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Eropah. - Foto REUTERS

Lebih 20 PATI maut selepas kapal karam di Senegal

DAKAR: Pasukan penyelamat menarik lebih 20 mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terapung dari laut di utara Senegal selain berjaya menyelamatkan 20 lagi mangsa selepas kapal ke Eropah yang sarat dengan penumpang karam semalam.

Menurut Gabenor wilayah Saint-Louis, Alioune Badara Samb, berkata kebimbangan semakin meningkat mengenai nasib mereka yang masih hilang.

"Tidak kurang daripada 20 mayat ditemui dan jumlah sebenar penumpang dalam kapal berkenaan belum diketahui tetapi mungkin mencecah ratusan orang.

"Sejak petang, kami menyaksikan mayat demi mayat dihanyutkan ke pantai," katanya menerusi panggilan telefon kepada AFP, dengan penyelamat tempatan dan tentera laut masih mencari mangsa yang terselamat.

Mangsa yang terselamat dari Casamance di bahagian selatan negara itu, Mamady Dianfo berkata terdapat kira-kira 300 penumpang ketika kapal itu meninggalkan Senegal seminggu lalu.

Dianfo berkata, kapal itu tiba di Maghribi, di mana kapten mendakwa dia sesat dan tidak dapat meneruskan perjalanan lagi.

"Kami memintanya untuk membawa kami pulang ke Senegal," katanya yang mendakwa kemalangan itu berlaku di perairan yang terkenal berbahaya di Saint-Louis.

Pantai Senegal adalah tempat berlepas yang semakin biasa bagi pendatang Afrika menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol, pelabuhan utama kemasukan mereka secara haram ke Eropah.

Menurut agensi sempadan Kesatuan eropah (EU), Frontex, pendatang Senegal dan Maghribi adalah warganegara paling biasa yang tiba di kepulauan Atlantik.

Pada 2023, bilangan pendatang yang sampai ke Kepulauan Canaries meningkat tiga kali ganda kepada hampir 40,000 orang, menurut kerajaan Sepanyol. - AFP

Berita Harian X