Sabtu, 17 Februari 2024 | 7:25pm
Warga Congo yang baharu berpindah bersiap untuk bermalam di rumah-rumah kecil yang mereka bina bersebelahan dengan kem Bulengo, beberapa kilometer dari pusat Goma. - Foto AFP
Warga Congo yang baharu berpindah bersiap untuk bermalam di rumah-rumah kecil yang mereka bina bersebelahan dengan kem Bulengo, beberapa kilometer dari pusat Goma. - Foto AFP

Lapangan terbang DR Congo dibom

GOMA, DR CONGO: Lapangan terbang di Goma, bandar timur DR Congo dibom, semalam, sekali gus meningkatkan ketegangan pergolakan yang berlaku antara pemberontak dan kerajaan.

Menurut sumber kerajaan di wilayah Gabenor Negeri Kivu Utara, lapangan terbang itu diserang dengan dua letupan bom, namun tiada kerosakan dilaporkan sehingga kini.

"Ya betul, lapangan terbang Goma diserang dengan bom, malam tadi.

"Kita menghantar dua pakar di lokasi kejadian untuk menyiasat dari mana bom itu dihantar," kata sumber itu.

Wakil AFP dan penduduk Goma turut mengakui mendengar dua letupan kuat.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan minggu ini terhadap keganasan yang meningkat di timur Republik Demokratik Congo.

Mereka turut mengutuk serangan yang dilancarkan oleh pemberontak M23 berdekatan dengan Goma, yang mempunyai sejuta penduduk.

Pertempuran dilaporkan meningkat baru-baru ini antara M23 dan tentera Congo yang disokong oleh militan pro-kerajaan.

DR Congo, PBB, dan negara Barat mengatakan Rwanda menyokong pemberontak untuk menguasai sumber mineral yang luas, suatu tuduhan yang dinafikan Kigali.

Pemberontak menakluki kawasan luas di Kivu Utara sejak dua tahun lalu.

Pertempuran terbaharu ini menyebabkan puluhan ribu penduduk melarikan diri ke arah Goma, yang terletak di antara Danau Kivu dan sempadan Rwanda.-AFP

Berita Harian X