Jumaat, 5 Januari 2024 | 5:47pm
Foto dirakamkan pada 4 Ogos 2023 menunjukkan rakyat Sudan melarikan diri daripada keganasan yang tercetus di West Darfur, menyeberangi sempadan ke Adre, Chad. - Foto fail REUTERS
Foto dirakamkan pada 4 Ogos 2023 menunjukkan rakyat Sudan melarikan diri daripada keganasan yang tercetus di West Darfur, menyeberangi sempadan ke Adre, Chad. - Foto fail REUTERS

25 juta rakyat Sudan perlu bantuan kemanusiaan - PBB

WASHINGTON: Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran mengenai penderitaan manusia yang semakin teruk di Sudan akibat konflik yang berterusan di negara itu.

"Di seluruh Sudan, hampir 25 juta penduduk akan memerlukan bantuan kemanusiaan pada 2024. Tetapi realiti yang suram ialah pertempuran yang semakin sengit menyebabkan kebanyakan mereka berada di luar jangkauan kami.

"Apabila konflik merebak, penderitaan manusia semakin mendalam, akses kemanusiaan semakin berkurangan dan harapan (ke arah keamanan) semakin pudar. Ini tidak boleh diteruskan," menurut Martin Griffiths dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.

Menegaskan peningkatan keganasan juga menjejaskan kestabilan serantau, Griffiths menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya mereka yang mempunyai pengaruh terhadap pihak yang terlibat dalam konflik, untuk mengambil tindakan "tegas dan segera" untuk menghentikan pertempuran dan melindungi bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata konflik itu mencetuskan krisis kehilangan tempat tinggal terbesar di dunia, menjejaskan lebih tujuh juta penduduk.

Menurut beliau kira-kira 1.4 juta daripada jumlah itu telah melarikan diri ke negara jiran yang telah pun menempatkan pelarian dalam jumlah yang ramai.

"Bagi rakyat Sudan, 2023 adalah tahun penderitaan. Pada 2024, pihak yang terlibat dalam konflik mesti melakukan tiga perkara untuk menamatkannya - melindungi orang awam, memudahkan akses kemanusiaan dan menghentikan pertempuran serta-merta."

Sudan telah terperangkap dalam konflik antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 12,260 penduduk terbunuh manakala lebih 33,000 lagi cedera.

Beberapa perjanjian gencatan senjata yang ditaja oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat telah gagal menghentikan keganasan itu. – BERNAMA-ANADOLU

Berita Harian X