Selasa, 19 Disember 2023 | 11:49am
Penyokong gembira selepas Abdel Fattah al-Sisi diisytihar menang. - Foto REUTERS
Penyokong gembira selepas Abdel Fattah al-Sisi diisytihar menang. - Foto REUTERS

Presiden Mesir menang pilihan raya

KAHERAH: Pihak Berkuasa Pilihan Raya Kebangsaan Mesir pada Isnin mengumumkan penyandang Presiden, Abdel-Fattah al-Sisi memenangi pilihan raya presiden 2024 dengan meraih kira-kira 40 juta atau 89.6 peratus undi, lapor Xinhua.

Dalam sidang media di Kaherah, Pengerusi pihak berkuasa itu, Hazem Badawy, berkata hampir 44.8 juta rakyat di dalam dan di luar negara mengundi dalam pilihan raya kali ini daripada kira-kira 67 juta pengundi yang layak.

Peratusan keluar mengundi sebanyak 66.8 peratus, peratusan keluar mengundi tertinggi dalam sejarah Mesir.

Hazem Omar calon Parti Rakyat Republikan meraih 4.5 peratus undi diikuti oleh Farid Zahran dari Parti Sosial Demokrat dan Abdel Sanad Yamama dari Parti Al-Wafd Mesir.

Susulan pengumuman keputusan pilihan raya, Sisi menyampaikan ucapan kepada negara dan beliau berkata: "Memilih saya untuk misi memimpin negara ini, tanggungjawab yang saya akan galas dengan setia".

"Negara ini sedang bergelut dengan pelbagai cabaran di semua peringkat dengan konflik di Gaza antara cabaran utama yang mengancam keselamatan Mesir.

"Kita memiliki keupayaan ketenteraan dan ekonomi untuk mengekalkan keselamatan negara dan kepentingan rakyat," kata Presiden Mesir itu.

Pengundian di Mesir berlangsung dari 10 hingga 12 Disember, manakala rakyat Mesir di luar negara mengundi dari 1 hingga 3 Disember di 121 negara. – BERNAMA-XINHUA

Rakyat Mesir mengundi Abdel Fattah al-Sisi hingga menang besar pilihan raya presiden Mesir. - Foto REUTERS
Rakyat Mesir mengundi Abdel Fattah al-Sisi hingga menang besar pilihan raya presiden Mesir. - Foto REUTERS

Berita Harian X