Ahad, 17 Disember 2023 | 3:00pm
Penduduk setempat Wad Madani, al-Jazirah di Sudan meninggalkan wilayah itu susulan perang antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF), semakin sengit. - Foto AFP
Penduduk setempat Wad Madani, al-Jazirah di Sudan meninggalkan wilayah itu susulan perang antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF), semakin sengit. - Foto AFP

Pertempuran besar di Sudan selepas perang selama 8 bulan

DUBAI: Pasukan separa tentera Pasukan Tindakan Pantas (RSF) Sudan menghadapi pertempuran terbesar dengan pihak tentera di luar bandar Wad Madani, susulan perang sejak lapan lapan bulan lalu di negara itu.

Tentera Sudan yang menguasai bandar itu sejak permulaan konflik, melancarkan serangan udara ke atas tentera RSF di Gezira, ketika ia cuba bertahan daripada serangan yang bermula Jumaat lalu.

RSF bertindak balas dengan tembakan meriam dan pasukan bantuan dilihat bergerak menyertai pertempuran.

Askar RSF juga dilihat berada di perkampungan di utara dan barat di bandar itu sejak beberapa hari dan minggu kebelakangan ini.

Dalam video disiarkan di media sosial, orang ramai yang berlindung dari keganasan di Khartoum dilihat mengemas barang-barang dan berjalan kaki meninggalkan bandar itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, seramai 14,000 orang meninggalkan kawasan terbabit setakat ini dan ribuan sudah sampai ke bandar lain.

Setengah juta orang mencari perlindungan di Gezira, terutamanya dari Khartoum.

Penduduk setempat Wad Madani, al-Jazirah, meninggalkan ibu negeri itu, menuju ke negeri Gadaref susulan perang antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF), semakin sengit. - Foto AFP

Kesatuan Doktor Sudan, dalam satu kenyataan, memberi amaran bahawa hospital di kawasan itu yang menjadi hab kemanusiaan dan perubatan kini sedang kosong dan dipaksa untuk ditutup.

Ia juga memaklumkan, lebih 340 kanak-kanak dan kakitangan yang dipindahkan dari rumah anak yatim Maygoma di Khartoum memerlukan bantuan segera untuk berpindah.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), menyeru RSF untuk menghentikan kemaraannya di Gezira serta-merta dan mengelak daripada menyerang Wad Madani.

Ia juga menggesa Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) untuk mengelakkan pertempuran dengan RSF atau mengambil tindakan lain yang membahayakan orang awam.

Ia berkata terdapat 'laporan membimbangkan' yang menunjukkan bahawa unit RSF elit mengembara untuk mengukuhkan serangan ke arah Wad Madani dan mengancam orang awam.

Dalam satu kenyataan, Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield berkata, pelaku keganasan akan bertanggungjawab.

Penduduk setempat Wad Madani, al-Jazirah di Sudan meninggalkan wilayah itu susulan perang antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF), semakin sengit. - Foto AFP
Penduduk setempat Wad Madani, al-Jazirah di Sudan meninggalkan wilayah itu susulan perang antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF), semakin sengit. - Foto AFP

Di Khartoum dan bandar lain di Darfur yang diambil alih oleh RSF, penduduk melaporkan kes rogol, rompakan, pembunuhan dan penahanan orang ramai dengan sewenang-wenangnya.

Kumpulan sama juga dituduh melakukan pembunuhan etnik di Darfur Barat.

Di bahagian lain, aktivis melaporkan pertempuran baru selepas keadaan tenang berminggu-minggu di sekitar bandar El Fasher, ibu negeri Darfur Utara.

Pasukan RSF yang mengepung bandar terbabit sebelum ini, menghentikan kemaraan mereka selepas kumpulan bersenjata lain berkata juga akan menyertai pertempuran.

Penduduk juga melaporkan serangan hebat oleh tentera di Nyala, Darfur Selatan dan di Bahri, salah satu bandar yang membentuk ibu negara yang lebih luas dengan Khartoum.

Walaupun tentera tidak membuat kenyataan mengenai pertempuran di Wad Madani, Kementerian Luar Sudan melabelkan RSF sebagai pengganas, kerana melakukan serangan ke atas beberapa kampung dan kawasan kejiranan di timur Gezira yang tidak mempunyai sasaran tentera.

Perang antara RSF dan tentera Sudan tercetus pada April lalu selepas pertikaian mengenai peralihan kepada demokrasi dan integrasi kedua-dua pasukan tentera itu. - REUTERS

Berita Harian X