Khamis, 30 November 2023 | 4:02pm
Pemimpin Hamas yang juga bekas menteri Kesihatan Gaza, Basem Naim (kiri) dan waki Hamas di Iran, Khaled Qaddoumi, pada sidang media di Cape Town, Afrika Selatan. - Foto AFP
Pemimpin Hamas yang juga bekas menteri Kesihatan Gaza, Basem Naim (kiri) dan waki Hamas di Iran, Khaled Qaddoumi, pada sidang media di Cape Town, Afrika Selatan. - Foto AFP

Hamas sedia tukar tentera Israel dengan semua tahanan Palestin

CAPE TOWN: Seorang pegawai kanan Hamas berkata gerakan itu sedia bebaskan semua tentera Israel yang ditawan sebagai pertukaran untuk semua tahanan Palestin di penjara Israel.

Pegawai Hamas dan bekas menteri kesihatan Gaza, Bassem Naim, berkata kumpulan itu sedang melalui 'rundingan rumit' untuk melanjutkan pemberhentian perang.

"Kami bersedia membebaskan semua tentera sebagai pertukaran untuk semua tahanan kami," kata Bassem pada sidang akhbar di Cape Town, ketika lawatan ke Afrika Selatan.

Pejuang Gaza menculik kira-kira 240 tebusan dari selatan Israel dalam serangan pada 7 Oktober lalu, yang didakwa pegawai Israel mengorbankan kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam.

Sebagai tindak balas, Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas dan melancarkan serangan udara serta darat, menyebabkan hampir 15,000 orang, juga kebanyakannya orang awam.

Seramai 60 tebusan Israel dan 180 banduan Palestin sudah dibebaskan di bawah perjanjian pemberhentian perang selama enam hari, yang membawa kegembiraan kepada keluarga mereka.

Ketika perbincangan diteruskan, 10 tebusan Israel kembali ke negara itu, antaranya lima wanita, tiga kanak-kanak dan dua lelaki berusia 18 tahun, kata pejabat perdana menteri.

Sebagai balasan, kementerian luar Qatar berkata, Israel membebaskan 30 rakyat Palestin, termasuk 14 wanita dan 16 kanak-kanak.

Sumber yang rapat dengan Hamas berkata kumpulan pejuang itu sedia melanjutkan pemberhentian perang selama empat hari lagi dan membebaskan lebih ramai tebusan Israel, namun hanya sehari dipersetujui.

"Kami cuba berusaha dengan pengantara untuk merundingkan pemberhentian perang sama sekali," kata Bassem.

Sebelum ini, tentera Israel berkata, ia sedang menyiasat laporan oleh sayap bersenjata Hamas bahawa seorang bayi berusia 10 bulan, abangnya berusia empat tahun dan ibu mereka, semuanya dibunuh di Gaza.

"Kami mengesahkan dua hingga tiga minggu lalu bahawa 60 warga Israel terbunuh akibat pengeboman Israel dan masih berada di bawah runtuhan.

"Wanita itu dan dua anaknya adalah antara mereka yang terkorban, saya boleh mengesahkannya," kata Bassem. - AFP

Berita Harian X