Rabu, 24 Mei 2023 | 1:57pm
Presiden Guyana, Irfaan Ali (tengah), bersama Perdana Menteri, Mark Phillips (kiri) dan Menteri Pendidikan, Priya Manickchand (kanan), bertemu dengan keluarga mangsa kebakaran asrama pelajar perempuan, yang meragut 19 nyawa. - Foto AFP
Presiden Guyana, Irfaan Ali (tengah), bersama Perdana Menteri, Mark Phillips (kiri) dan Menteri Pendidikan, Priya Manickchand (kanan), bertemu dengan keluarga mangsa kebakaran asrama pelajar perempuan, yang meragut 19 nyawa. - Foto AFP
Penyiasat dan kakitangan sekolah memeriksa asrama pelajar perempuan yang terbakar, mengakibatkan 19 maut. - Foto AFP
Penyiasat dan kakitangan sekolah memeriksa asrama pelajar perempuan yang terbakar, mengakibatkan 19 maut. - Foto AFP
Antara mangsa yang terselamat dalam kebakaran asrama pelajar perempuan, yang meragut 19 nyawa di Guyana. - Foto AFP
Antara mangsa yang terselamat dalam kebakaran asrama pelajar perempuan, yang meragut 19 nyawa di Guyana. - Foto AFP

Berang telefon dirampas, pelajar bakar asrama menyebabkan 19 maut

GEORGETOWN: Kebakaran asrama sekolah di Guyana yang meragut 19 nyawa hujung minggu lalu, berlaku akibat perbuatan seorang pelajar yang marah kerana telefon bimbitnya dirampas.

Polis dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan rasmi polis mengesahkan seorang pelajar perempuan disyaki memulakan kebakaran itu kerana telefon bimbitnya dirampas oleh warden asrama dan guru.

Pelajar remaja itu mengaku memulakan kebakaran berkenaan dan kini di bawah kawalan polis di sebuah hospital daerah di bandar Mahdia, dan polis kini sedang meneliti sama ada akan membuat pertuduhan terhadap suspek atau sebaliknya.

Ahad lalu, sebuah asrama yang menempatkan 57 pelajar perempuan berusia 11 hingga 17 tahun hangus dijilat api, menyebabkan 19 pelajar maut dan 20 kanak-kanak dibawa ke hospital, dengan dua daripadanya dalam keadaan kritikal.

"Mereka (kakitangan asrama) merampas telefon bimbit pelajar perempuan itu dan pada malam sama, suspek mengugut untuk membakar asrama itu dan semua orang mendengarnya," kata sumber yang enggan dikenali.

Menurut sumber itu, pelajar perempuan terbabit kemudian pergi ke kawasan bilik mandi dan menyembur racun serangga pada tirai lalu membakarnya. Sejumlah pelajar lain yang menjadi saksi turut menceritakan perkara sama.

Susulan itu, beberapa pelajar lain cuba memadamkan api yang dinyalakan, namun kebakaran itu merebak pantas menerusi siling yang diperbuat daripada kayu, sebelum memusnahkan keseluruhan bangunan.

"Menurut pelajar perempuan lain yang ditemui, mereka semua sedang tidur ketika kejadian, sebelum terjaga apabila terdengar jeritan.

"Mereka kemudian melihat api dan asap di kawasan bilik mandi dan merebak ke kawasan lain, menyebabkan beberapa pelajar melecur di badan serta terhidu asap, manakala beberapa yang lain sempat melarikan diri," menurut laporan polis yang dibuat.

Sementara itu, pakar patologi yang melakukan bedah siasat pada enam mayat mangsa Isnin lalu mengesahkan punca kematian adalah akibat terhidu asap dan terbakar, dengan 13 mayat sudah dibawa ke Georgetown untuk pengesahan DNA.

Isnin lalu, Presiden Guyana, Irfaan Ali bertemu dengan ibu bapa mangsa selepas melawat hospital di Mahdia, dan mengisytiharkan seluruh negara itu berkabung selama tiga hari. - AFP

Berita Harian X