LILONGWE: Angka kematian akibat Taufan Tropika Freddy di Malawi berkemungkinan mencecah 1,000 orang berikutan dijangka lebih banyak mayat dijumpai dan masih ramai dilaporkan hilang, menurut Jabatan Hal Ehwal Pengurusan Bencana negara itu.
Sehingga petang Selasa lalu, jumlah mayat yang ditemui seramai 507 daripada 499 mangsa yang dilaporkan hari sebelumnya, dengan jumlah orang hilang meningkat daripada 427 kepada 537.
Bilangan mangsa cedera kekal 1,332 orang.
Sementara itu, bilangan penduduk yang dipindahkan meningkat daripada 508,244 kepada 553,614 orang dan sembilan lagi kem penempatan dibuka bagi menempatkan mangsa, menjadikan jumlah keseluruhan penempatan itu bertambah kepada 543 kem.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan apabila Pasukan Pertahanan Malawi dan Perkhidmatan Polis Malawi bekerjasama dengan pakar British, Zambia dan Tanzania untuk dikerahkan ke seluruh kawasan yang terjejas.
Lebih banyak bantuan dan sokongan kemanusiaan mencurah masuk dari negara jiran, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa dan tempatan serta individu, kata pihak berkuasa tempatan.
Taufan Freddy mengakibatkan jumlah hujan yang menyamai rekod enam bulan di selatan Malawi dalam tempoh enam hari, dengan banjir dan tanah runtuh menghanyutkan rumah, jalan raya serta jambatan sekali gus memecahkan rekod banjir sebelumnya.
Taufan itu mengakibatkan hampir 500 orang maut di selatan negara itu, manakala 150 lagi maut di negara-negara selatan Afrika lain sejak akhir Februari, menurut data Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) PBB.
Negara itu turut bergelut dengan wabak kolera yang merekodkan ramai korban nyawa kini berdepan bencana ribut.
Wabak kolera membunuh lebih 1,700 orang dan pihak berkuasa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bimbang ia akan menjadi lebih teruk. - AGENSI