Isnin, 13 March 2023 | 7:56pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Bot terbalik di Madagascar, 22 PATI maut

ANTANANARIVO: Sekurang-kurangnya 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) maut selepas bot yang dinaiki terbalik di luar pantai Madagascar di Afrika Selatan pada Sabtu, lapor Xinhua.

Bot yang membawa 47 penumpang itu terbalik di luar pantai Madagascar, menurut Agensi Pelabuhan Maritim dan Sungai dalam satu kenyataan.

"Kira-kira 47 orang secara haram menaiki bot menuju ke Mayotte di wilayah perancis tetapi terbalik. Kami menemui 22 mayat mangsa dalam tragedi Sabtu lalu itu.

"Sementara itu, 23 lagi penumpang berjaya diselamatkan dan operasi mengesan mangsa yang hilang masih diteruskan," kata pihak berkuasa.

Sementara itu di Gabon, pasukan penyelamat masih mencari 21 penumpang sebuah feri yang karam di luar pesisir negara Afrika Tengah itu, mengorbankan enam mangsa.

Perdana Menteri Gabon, Alain-Claude Bilie By Nze, berkata feri Esther Miracle sedang membawa 161 penumpang dari Libreville ke Port-Gentil apabila ia karam pada 9 Mac lalu dekat perkampungan persatuan pantai, Nyonie.

"Kami belum lagi menghentikan operasi menyelamat yang kami teruskan sejak hari pertama kemalangan berlaku, malah sekarang ketika sidang media ini, ada bot membawa penyelam sedang cuba mencari lokasi feri karam itu," katanya kepada penyiar, Gabon 1ere.

Selain itu, juruterbang, Modeste Mezui, berkata pasukan tentera udara turut menjalankan operasi harian bagi mencari mangsa sejak feri berkenaan karam.

"Operasi mencari diteruskan walaupun membabitkan kawasan yang besar," katanya kepada agensi berita rasmi. - AGENSI

Berita Harian X