LAGOS: Enam maut, manakala puluhan lagi cedera parah selepas kereta api merempuh sebuah bas di pusat komersial Nigeria, Lagos, semalam.
Jurucakap Agensi Penyelamat Kecemasan Lagos (LASEMA), Ibrahim Farinloye, berkata pemandu bas dilihat cuba memintas isyarat, sebelum kenderaan itu dirempuh kereta api.
Rentetan itu, katanya, seramai 74 mangsa cedera dengan beberapa daripada mereka dilaporkan parah, selain petugas kecemasan bergelut selama beberapa jam untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam bas.
Beliau mendakwa, pemandu bas terbabit 'memandu secara melulu' dan cuba melintasi garisan bertentangan biarpun amaran isyarat kereta api dinyalakan, selain serpihan akibat pelanggaran itu sudah dialihkan.
"Angka kematian ketika ini meningkat daripada dua kepada enam, masing-masing empat wanita dan dua lelaki.
"Jumlah ini mungkin meningkat kerana banyak mangsa yang dirawat di hospital berada dalam keadaan kritikal," katanya dalam kenyataan.
Kereta api itu dalam perjalanan dari Ijoko, Ogun menuju ke Ebute-Meta di Lagos.
Kemalangan jalan raya sering berlaku di Nigeria akibat kemudahan tidak diselenggara dengan baik, memandu secara melulu dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas. - AFP