JOHANNESBURG: Kemalangan membabitkan sebuah trak berperisai dan sebuah bas meragut nyawa 20 mangsa dan mencederakan 60 lagi di wilayah Limpopo di utara Afrika Selatan, menurut jabatan pengangkutan serantau hari ini.
"Kemalangan tragik mengorbankan 20 orang ini berlaku semalam apabila sebuah trak berperisai membawa wang tunai hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan di sebuah lebuh raya," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Sepuluh mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sudah dipindahkan ke hospital.
Sementara itu, pasukan penyelam polis sedang memeriksa sungai yang mengalir di sepanjang lebuh raya bagi mencari 'mangsa yang mungkin dihanyutkan arus'.
Jurucakap jabatan pengangkutan, Tidimalo Chuene, memberitahu AFP bahawa punca kemalangan masih disiasat dan hujan lebat sejak beberapa hari lalu dilaporkan di wilayah berkenaan.
Musim hujan turut menyebabkan banjir di beberapa wilayah di Afrika Selatan sejak beberapa hari lalu, yang mengorbankan tujuh mangsa, mendorong kerajaan mengisytiharkan bencana kebangsaan. - AFP