Isnin, 30 Januari 2023 | 4:17pm
Penyiasat mengeluarkan mayat selepas tembakan bar di Afrika Selatan, di mana kejadian seperti itu adalah perkara biasa. - Foto AP
Penyiasat mengeluarkan mayat selepas tembakan bar di Afrika Selatan, di mana kejadian seperti itu adalah perkara biasa. - Foto AP

8 ditembak mati ketika sambut hari jadi

JOHANNESBURG: Sambutan hari jadi bertukar tragedi apabila lapan individu disahkan meninggal dunia dan tiga lagi cedera dalam kejadian tembakan oleh dua lelaki bersenjata, di Afrika Selatan semalam.

Polis dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, mereka yang menyertai sambutan hari jadi itu adalah antara mangsa kejadian tembakan besar-besaran yang berlaku di Gqeberha.

"Pemilik rumah itu sedang meraikan hari lahirnya sebelum dua lelaki bersenjata yang tidak dikenali memasuki halaman rumah berkenaan dan menembak tetamu yang hadir.

"Lelaki bersenjata itu membuat tembakan rawak pada tetamu. Lapan orang maut termasuk pemilik rumah, manakala tiga lagi masih bertarung nyawa di hospital. Punca kejadian tembakan itu masih belum dikenalpasti," katanya.

Ketua Polis Wilayah Eastern Cape, Nomthetheleli Mene mengutuk kejadian itu sebagai suatu pengabaian terhadap nyawa manusia secara terang-terangan.

Polis berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan terhadap serangan itu dan sedang berusaha untuk memburu suspek.

Afrika Selatan menjadi salah satu negara yang mempunyai kadar pembunuhan tertinggi di dunia diikuti kumpulan pengganas dan alkohol.

Kejadian tembakan adalah perkara biasa yang berlaku di Afrika Selatan.

Pada tahun lalu, Afrika Selatan menyaksikan kejadian tembakan yang membunuh lebih 20 orang di bar di pinggir bandar Johannesburg dan Pietermaritzburg secara berasingan. - AFP

Berita Harian X