ADDIS ABABA: Pihak berkuasa Ethiopia menjelaskan nahas pesawat Ethiopian Airlines Boeing 737-8 Max yang mengorbankan 157 orang pada 2019 berpunca daripada kerosakan ciri keselamatan, lapor Xinhua semalam.
Pada 10 Mac 2019, pesawat yang terbang dari Addis Ababa ke Nairobi terhempas beberapa minit selepas berlepas dan mengorbankan semua penumpang dan anak kapal.
Menteri Pengangkutan dan Logistik Ethiopia, Dagmawit Moges, berkata laporan akhir mengenai kemalangan itu menyimpulkan tiada apa-apa yang berlaku sebelum berlepas dan nahas itu disebabkan oleh kegagalan ciri keselamatan.
"Penderia Left Angle of Attack (AOA) pesawat gagal serta-merta selepas berlepas, menghantar data yang rosak ke sistem kawalan penerbangan.
"Data yang salah itu seterusnya mencetuskan Manuvering Characteristics Augmentation System (MCAS), yang berulang kali menurunkan muncung pesawat sehingga juruterbang hilang kawalan," kata Moges yang dipetik oleh Agensi Berita Ethiopia (ENA).
Penderia AOA pada pesawat memberitahu MCAS untuk secara automatik menghalakan muncung pesawat ke bawah jika ia berada dalam bahaya.
Difahamkan MCAS ialah ciri keselamatan automatik pada 737 Max 8 yang direka untuk menghalang pesawat daripada memasuki keadaan pegun.
Moges berkata, laporan akhir itu dihasilkan berdasarkan laporan awal dan interim yang dikeluarkan sebelum ini.
Insiden itu mendorong syarikat penerbangan Ethiopia, bersama dengan banyak syarikat penerbangan lain di seluruh dunia, menghentikan jet Boeing 737 MAX.
Pada Februari, syarikat penerbangan Ethiopia itu menerbangkan jet Boeing 737 MAX buat kali pertama sejak insiden tragis itu. – BERNAMA