Khamis, 22 Disember 2022 | 2:06pm
Pesawat TUI Airways. - Foto AFP
Pesawat TUI Airways. - Foto AFP

Lelaki ditemui maut pada roda pesawat

BANJUL: Seorang penumpang haram ditemui maut di bahagian roda sebuah pesawat yang berlepas dari Gambia ke Britain.

Jurucakap Kerajaan Gambia, Ebrima G Sankareh, mengesahkan lelaki berkulit hitam yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui maut pada pesawat sebuah syarikat penerbangan Britain, TUI Airways.

Beliau berkata, pesawat berkenaan dijadualkan berlepas dari Banjul ke Lapangan Terbang Gatwick di London, pada 5 Disember lalu.

"Kerajaan Gambia menerima maklumat mengenai kejadian minggu ini daripada Polis Metropolitan di Sussex, England.

"Menurut maklumat, lelaki berkulit hitam yang maut ditemui dalam bahagian ruang roda pesawat tanpa dokumen pengenalan diri yang menyukarkan proses menentukan nama, usia, kewarganegaraan atau jadual perjalanan.

"Identitinya masih belum dikenal pasti," katanya.

Katanya, pihak berkuasa Gambia kini sedang bekerjasama dengan polis Britain untuk menguruskan mayat lelaki itu.

"Mayat dibawa ke bilik mayat untuk ujian DNA dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Pusat Dasar New South, Rida Lyammouri berkata, kejadian seumpama itu walaupun jarang berlaku menunjukkan betapa terdesaknya segelintir individu untuk berhijrah sehingga mengambil pendekatan berisiko.

Kejadian individu menumpang secara haram dari Afrika ke Eropah melalui pesawat dan kapal banyak berlaku sebelum ini.

November lalu, tiga penumpang dari Nigeria ditemui selamat di atas kemudi kapal di Kepulauan Canary selepas melalui pelayaran laut selama 11 hari. - AP

Berita Harian X