Khamis, 22 Disember 2022 | 7:43am
Pekerja kesihatan memberikan rawatan kepada pesakit taun di sebuah pusat rawatan di Teluk Nkhata. - Foto Agensi
Pekerja kesihatan memberikan rawatan kepada pesakit taun di sebuah pusat rawatan di Teluk Nkhata. - Foto Agensi

410 maut akibat taun di Malawi

BLANTYRE: Sekurang-kurangnya 410 individu maut akibat wabak taun di Malawi, lapor akhbar Nation negara itu semalam.

Memetik data daripada Kementerian Kesihatan, akhbar itu berkata, Malawi sudah mencatatkan 71 kematian baharu dalam tempoh dua minggu lalu dengan Selasa lalu mencatatkan enam kematian dan 189 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 13,837.

Kementerian itu berkata, mereka sedang meningkatkan intervensi untuk menangani wabak terbaru yang bermula pada Mac di daerah Machinga di selatan Malawi.

Data minggu lalu menunjukkan daerah pinggir tasik Mangochi, Salima, Teluk Nkhata dan NKhotakota masih mendahului dalam kes, manakala bandar Blantyre dan Lilongwe mencatatkan jumlah kes yang direkodkan setiap hari yang tinggi.

Pengarah perkhidmatan kesihatan pencegahan Kementerian Kesihatan, Dr Storn Kabuluzi, meminta semua pihak yang berkepentingan untuk menyokong kementerian dalam memerangi wabak itu.

"Ia antara lain meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan dan rawatan serta menyediakan perkhidmatan air dan sanitasi kepada orang ramai.

"Kementerian Air dan Sanitasi, pemimpin tempatan, media dan pertubuhan bukan kerajaan perlu menyokong kami dalam memastikan orang ramai mempunyai air dan tandas yang selamat, selain menghantar mesej kepada orang ramai untuk memahami bagaimana taun merebak," katanya.

Sambil menekankan bahawa air, sanitasi dan kebersihan adalah kunci dalam kawalan taun, Kabuluzi berkata kerajaan meminta lebih banyak vaksin taun sebagai campur tangan tambahan. - Agensi

Berita Harian X