JOHANNESBURG: Polis Afrika Selatan hari ini memaklumkan, pihaknya menahan seorang ketua kumpulan Israel yang dikehendaki kerana disyaki terbabit konspirasi untuk membunuh dan cubaan membunuh, dalam serbuan awal pagi di pinggir bandar Johannesburg.
Suspek berusia 46 tahun itu dikaitkan dengan sebuah kumpulan penjenayah yang dipanggil Pertubuhan Abergil dan berada dalam senarai Notis Merah INTERPOL sejak 2015, menurut polis dalam satu kenyataan.
Notis Merah adalah permintaan kepada penguat kuasa undang-undang di seluruh dunia untuk mengesan dan menangkap seseorang individu sebelum diekstradisi, serah diri atau dikenakan tindakan undang-undang yang seumpamanya.
"Menurut pihak berkuasa Israel, suspek terbabit dalam sebuah kumpulan yang terkenal dengan pengedaran dadah, peras ugut dan kegiatan jenayah lain," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut dua kejadian yang mana suspek didakwa memasang bom di bawah dan atas kenderaan mangsa.
"Dalam operasi awal pagi itu, pasukan menyerbu lokasi alamat yang dikenal pasti di Bryanston dan menemui suspek bersama tujuh individu lain, 12 senjata api termasuk senapang dan pistol serta wang AS$40,000 (kira-kira RM182,000)," katanya. - REUTERS