Sabtu, 23 April 2022 | 10:09am
Penduduk beratur untuk mendapatkan sumbangan makanan daripada aktivis di Durban yang terjejas teruk akibat tanah runtuh selepas hujan lebat, minggu lalu. - Foto AFP
Penduduk beratur untuk mendapatkan sumbangan makanan daripada aktivis di Durban yang terjejas teruk akibat tanah runtuh selepas hujan lebat, minggu lalu. - Foto AFP

Afrika Selatan rekod kes COVID-19 tertinggi dalam beberapa bulan

JOHANNESBURG: Afrika Selatan menyaksikan lonjakan membimbangkan kes COVID-19 selepas reda dengan jangkitan baharu, menurut data rasmi pada Jumaat.

Kemas kini harian dikeluarkan National Institute for Communicable Diseases (NICD) pada Jumaat menunjukkan 4,631 jangkitan dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini adalah jumlah tertinggi yang dicatatkan berbanding purata harian sekitar 1,300 jangkitan minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Joe Phaahla memberitahu Parlimen pada Jumaat bahawa peningkatan jangkitan adalah "membimbangkan."

"Sejak beberapa hari kebelakangan ini kita melihat tanda-tanda membimbangkan peningkatan tahap jangkitan COVID-19. Diharapkan tidak akan meningkat lebih tinggi dan kami sedang memantau," katanya.

Lebih separuh daripada kes baharu yang dilaporkan pada Jumaat ditemui di wilayah paling ramai penduduk, Gauteng, yang mana terletaknya Johannesburg.

Wilayah KwaZulu-Natal yang dilanda banjir mencatatkan jumlah kedua tertinggi, menyumbang 22 peratus daripada kes baharu.

Dengan jumlah kes yang disahkan oleh makmal melebihi 3.7 juta, COVID-19 melanda Afrika Selatan lebih teruk berbanding negara lain di benua itu.

Pengarah Eksekutif NICD, Adrian Puren, berkata varian Omicron masih merupakan varian beredar yang dominan.

Hanya satu kematian akibat COVID0-19 direkodkan pada Jumaat.

Pada awal Mac, Afrika Selatan mencatatkan sifar kematian COVID-19 buat kali pertama sejak Mei 2020.

Saintis meramalkan gelombang baharu akan melanda negara itu pada Mei apabila musim sejuk hemisfera selatan bermula. - AFP

Berita Harian X