JOHANNESBURG: Negara Afrika akan membayar harga lebih tinggi untuk gandum dan mungkin mengalami kekurangan bekalan dalam beberapa minggu akan datang berikutan konflik Russia-Ukraine yang berterusan.
Pakar sains politik di Universiti Afrika Selatan, yang Dirk Kotze bercakap kepada Agensi Anadolu berkata, Afrika Selatan mengimport gandum dari Ukraine dan Russia, namun disebabkan konflik berterusan kekurangan bekalan gandum dan peningkatan harga minyak dijangka berlaku.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Russia dan Ukraine adalah pengeluar dan pengeksport makanan global utama.
Russia adalah pengeksport terbesar gandum dunia, manakala Ukraine kelima terbesar. Kedua-dua negara menyediakan 19 peratus daripada bekalan barli dunia, 14 peratus gandum dan empat peratus jagung, sekali gus membentuk lebih satu pertiga daripada eksport bijirin global.
Kedua-duanya juga menyumbang 52 peratus daripada pasaran eksport minyak bunga matahari dunia dan Russia adalah pengeluar baja global terkemuka.
Dalam teks mesej kepada Agensi Anadolu, ketua ekonomi di Dewan Perniagaan Pertanian Afrika Selatan, Wandile Sihlobo berkata, walaupun Afrika Selatan tidak akan menghadapi masalah kekurangan makanan, harga pasti akan meningkat.
Beliau berkata, Afrika Selatan mengimport terutamanya gandum dan minyak bunga matahari dari Russia dan Ukraine.
"Sejak lima tahun lalu (2016-2020), Afrika Selatan mengimport purata 1.8 juta tan metrik gandum setiap tahun, kira-kira separuh daripada keperluan penggunaan gandum tahunan.
"Daripada jumlah itu, purata import gandum dari Russia dan Ukraine masing-masing 34 peratus dan empat peratus,'' katanya.
Pakar ekonomi itu berkata, tahun ini Afrika Selatan mengimport 40 peratus daripada anggaran importnya sebanyak 1.5 juta tan metrik gandum, manakala baki selebihnya akan diterima dari negara lain pada kos jauh lebih tinggi berbanding harga diimport dari Russia serta Ukraine dan ia, akan menyebabkan kenaikan harga gandum di Afrika Selatan.
Afrika Selatan juga mengeksport produk seperti sitrus, kacang, sayur-sayuran dan tembakau ke Russia serta Ukraine.
Eksekutif di badan pemikir Media Review Network berpangkalan di Johannesburg, Iqbal Jassat pula memberitahu Agensi Anadolu bahawa Afrika pasti akan terjejas teruk disebabkan konflik itu.
"Hakikat bahawa pergantungan benua ini kepada sumber luar untuk bekalan makanan asas seperti gandum, minyak masak bijirin dan bahan api walaupun sudah lama merdeka daripada kuasa penjajah, menjadikan Afrika sangat terdedah kepada risiko," katanya.
Banyak negara Afrika mengimport gandum dari Russia dan Ukraine juga menyatakan kebimbangan bahawa jika konflik berpanjangan dan sekatan terhadap Russia berterusan, mereka akan terpaksa menanggung harga gandum tinggi diperoleh dari tempat lain.
Menurut pakar sains politik Universiti Kyambogo Uganda, Sultan Kakuba, selagi konflik berterusan ekonomi Afrika tidak akan selamat berikutan harga minyak meningkat, seterusnya membawa kepada kenaikan harga komoditi dan inflasi. – BERNAMA