Isnin, 7 Februari 2022 | 11:03am
Kebakaran hutan di Taman Negara Aberdare, Kenya. - Foto AFP
Kebakaran hutan di Taman Negara Aberdare, Kenya. - Foto AFP

Kebakaran hutan merebak di taman negara Kenya

NAIROBI: Renjer hutan dan sukarelawan bertungkus lumus cuba memadamkan kebakaran hutan di Taman Negara Aberdare, Kenya sejak semalam, yang semakin marak merebak akibat tiupan angin kencang.

Kebakaran yang bermula kelmarin itu kini sudah berlarutan lebih 24 jam, kata seorang kakitangan Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS), agensi kerajaan bertanggungjawab terhadap taman negara.

"Api semakin marak dengan pantas membakar dan merebak jauh akibat angin kencang.

"Kami sudah menyelaras masyarakat setempat dan kakitangan yang ada, semuanya melakukan usaha terbaik mereka, namun kebakaran yang berlaku terlalu besar untuk kami tangani," katanya.

Taman negara terbabit terpahat dalam sejarah kerana dikunjungi Ratu Elizabeth II apabila masih bergelar puteri dan menerima berita kemangkatan bapanya ketika menginap di hotel Treetops yang dibina di atas pokok sebagai lokasi memerhati hidupan liar di hutan Aberdare forest.

Badan kebajikan pemuliharaan di Kenya, Rhino Ark, melaporkan di Twitter bahawa ia terpaksa menggunakan helikopter untuk melakukan pemantauan dari udara bagi melihat sejauh mana kemusnahan berlaku di kawasan hutan berkenaan.

Badan Amanah Mount Kenya, agensi ditubuhkan bagi pemuliharaan hutan negara, berkata ia sudah menghantar pasukannya bagi membantu kerja memadam kebakaran hutan di Aberdares.

"Mereka akan berkhemah di sana dan memulakan kerja sebaik subuh di taman negara yang terletak kira-kira 100 kilometer (km) ke utara ibu negara, Nairobi.

Terletak di banjaran gunung Aberdare, taman negara itu menempatkan air terjun yang mempesona, hutan buluh yang subur dan pelbagai spesies hidupan liar termasuk harimau bintang, gajah serta badak sumbu hitam yang kini kritikal diancam kepupusan.

Banjaran Aberdares adalah pergunungan ketiga tertinggi di Kenya, menxcecah ketinggian melebihi 4,000 meter.

Baru-baru ini, wujud kebimbangan berhubung usul di Parlimen yang membenarkan wakil rakyat memutuskan sama ada sebahagian hutan negara boleh dipindah milik kepada mana-mana individu.

Pindaan Akta Pemuliharaan Hutan dan Pengurusan, yang diluluskan selepas puluhan tahun pembersihan hutan secara haram berlaku, kini mencetuskan kemarahan dan kebimbangan rakyat ia mungkin menyebabkan pembalakan haram serta kemusnahan alam sekitar. - AFP

Berita Harian X