Ahad, 9 Januari 2022 | 12:18pm
Rundingan tajaan PBB diharap menamatkan krisis politik di Sudan. FOTO AFP
Rundingan tajaan PBB diharap menamatkan krisis politik di Sudan. FOTO AFP

PBB jadi 'orang tengah' bantu tamat krisis di Sudan

KHARTOUM: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan rundingan bagi membantu Sudan menamatkan krisis berikutan rampasan kuasa tentera yang menghalang peralihan pemerintahan awam di negara itu.

Utusan Khas PBB, Volker Perthes berkata, sudah tiba masa untuk semua pihak di Sudan menamatkan keganasan dan memasuki proses yang lebih baik menerusi rundingan dengan semua pemegang taruh awam dan tentera.

"Peralihan pemerintahan menyebabkan perubahan yang memberi kesan mendalam kepada negara Sudan sejak rampasan kuasa tentera.

"Keganasan yang berterusan dan berulang terhadap penunjuk perasaan yang sebahagian besarnya diadakan secara aman hanya meningkatkan kebencian dan tidak percaya terhadap semua parti politik di Sudan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sudan digegarkan dengan tunjuk perasaan pro-demokrasi dan tindakan keras pasukan keselamatan terhadap rakyat sejak Jeneral Abdel Fattah al-Burhan merampas kuasa pada 25 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dalam tindakan kekerasan sejak tentera merampas kuasa, menurut Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan, yang menjadi sebahagian daripada gerakan pro-demokrasi negara itu.

Rundingan yang disokong PBB itu bertujuan 'memujuk' pemegang taruh Sudan untuk menerima pelan menamatkan krisis politik semasa negara itu ke arah demokrasi dan keamanan mampan.

Sidang media mengenai rundingan itu diadakan esok sebagai tanda pelancaran rasmi Rundingan Dalaman Sudan mengenai Demokrasi dan Peralihan.

Negara yang dipanggil Quad iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk Liga Arab mengalu-alukan inisiatif PBB itu.

Negara terbabit berharap rundingan itu akan membawa kepada pilihan raya di Sudan.

Perthes berkata, beliau sangat bimbang kebuntuan politik semasa di Sudan berterusan boleh menyebabkan negara itu terjerumus ke dalam ketidakstabilan berpanjangan.

"Pergerakan bersenjata, parti politik, masyarakat awam, kumpulan wanita dan jawatankuasa penentang dijemput untuk mengambil bahagian dalam proses politik yang diuruskan PBB," katanya. - AFP

Berita Harian X